Wanita bersalin di luar Stadium Nasional Bukit Jalil, tak sempat tonton konsert Jay Chou

Oleh WAN SITI AMINAH

Hasrat seorang ibu mengandung yang teringin menonton konsert penyanyi antarabangsa dari Taiwan iaitu Jay Chou tidak kesampaian apabila wanita itu tiba-tiba merasa sakit di bahagian perut.

Bukan sekadar sakit biasa, wanita itu rupanya sedang mengalami simptom ataupun tanda menghampiri waktu bersalin ketika berada di luar Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur untuk menonton konsert tersebut.

Kejadian difahamkan berlaku pada 26 September lalu ketika para peminat Jay Chou termasuk ibu hamil berkenaan sedang beratur di luar perkarangan stadium sebelum dibenarkan masuk ke lokasi konsert diadakan.

Petugas kesihatan kemudian segera dikejarkan ke lokasi kejadian untuk memberikan bantuan awal dan ibu hamil berkenaan dilaporkan selamat melahirkan bayi sewaktu ambulans tiba di perkarangan stadium.

Kejadian mencemaskan itu sempat dirakam oleh orang ramai yang berada di lokasi sebelum dimuat naik di platform Xiaohongshu iaitu sebuah laman media sosial terkenal di kalangan masyarakat Cina.

Menerusi beberapa rakaman yang dikongsikan di platform itu, pihak penganjur dilihat berjaya mengawal pergerakan para penonton konsert ketika wanita terbabit dibawa masuk ke dalam ambulans sambil memegang bayinya.

Orang ramai juga kelihatan tidak melepaskan peluang untuk bersorak bagi berkongsi kegembiraan dan memberikan sokongan kepada ibu yang baru sahaja melahirkan anak itu.

Penularan perkongsian itu telah menimbulkan perbincangan hangat di media sosial mengenai cadangan nama bayi berkenaan seperti Chou Jie Lun (nama sebenar Jay Chou) untuk lelaki dan Kun Lin (isteri Jay Chou) untuk anak perempuan.

Malah ada juga individu berseloroh bahawa bayi terbabit sepatutnya diberikan tiket konsert secara percuma untuk seumur hidup seperti mereka yang dilahirkan di atas kapal terbang.

Baca juga: Pengasas TikTok kini individu terkaya di China miliki kekayaan RM235.4 bilion