Baru-baru ini tular satu perkongsian mengenai masalah dihadapi oleh seorang lelaki bergelar suami selepas anak saudara kepada isterinya duduk menumpang di rumah mereka.
Menurut lelaki berkenaan, gadis berumur 23 tahun yang menumpang di kediamannya itu mempunyai personaliti berbeza daripada isterinya termasuklah peramah, kelakar dan suka bergurau.
Perkara ini membuatkan sang suami mula merasa selesa malah lebih teruja balik ke rumah dari tempat kerja untuk berjumpa dengan gadis berkenaan berbanding isterinya sendiri.
“Anak buah dari kampung tumpang rumah kami sebulan dua. Bab tumpang itu, saya tak kisah sangat. Masalahnya sekarang apabila ada peluang, kami bersama-sama akan menonton televisyen sambil berborak.
“Sedangkan isteri duduk dalam bilik, main dengan anak. Kian hari, saya rasa macam selesa dengan dia (anak buah). Peramah, kelakar dan memang pandai bergurau kalau nak dibandingkan dengan isteri saya yang pendiam.
“Secara tidak langsungnya, saya akan teringat dekat dia ketika waktu bekerja. Rasa nak balik rumah cepat-cepat untuk tengok dan berborak dengan dia,” akui lelaki itu dalam satu perkongsian tular di media sosial.
Perkongsian yang dibuat suami itu tanpa mendedahkan identiti sebenarnya kemudian dimuat naik menerusi satu hantaran di laman media sosial TikTok oleh pengguna platform berkenaan.
Tidak memberi penjelasan mengenai perasaan anak buah isteri terhadap dirinya, lelaki itu bagaimanapun mengakui gadis terbabit sering membantu menggosok pakaian dan menyiapkan sarapan untuknya.
“Perasaan (saya terhadap dia) tiba-tiba wujud. Belakangan ini pula, dia selalu tolong gosokkan baju kerja dan siapkan sarapan pagi untuk saya. Isteri perasan (anak buah bantu). Tetapi isteri cuma cakap dekat adiknya ‘eloklah’ sebab anaknya suka tolong dekat rumah.
“Minggu depan, anak buah nak balik kampung di Perlis. Isteri cakap tak boleh ikut sebab ada hal sedikit. Dia suruh saya yang hantarkan. Tak benar anak buah naik bas sebab perjalanan jauh, ambil masa lapan jam. Apa perlu saya buat?.” Soal lelaki itu.