Ragam anak tabika! Hilang ‘drama’ lepas dapat gambar ibu, tersengih ada peneman dalam kelas

Oleh WAN SITI AMINAH

Pelbagai gelagat kanak-kanak dapat dilihat pada minggu pertama pembukaan sesi persekolahan untuk tahun 2025 terutamanya bagi murid Tabika dan Tahun Satu yang baru mula belajar untuk menyesuaikan diri.

Seperti dapat dilihat melalui perkongsian di media sosial, segelintir murid dapat menyesuaikan diri dengan cepat dan ceria bertemu rakan baharu namun ada juga kanak-kanak yang meraung tidak mahu ditinggalkan ibu bapa.

Situasi ini juga dapat dilihat menerusi satu rakaman yang tular di aplikasi TikTok memaparkan seorang kanak-kanak kelihatan begitu ceria sebelum mula menitiskan air mata dalam pelukan gurunya apabila ditinggalkan ibu bapa.

Menerusi perkongsian rakaman berdurasi 15 saat itu, turut dikongsikan satu tangkap layar perbualan antara seorang ibu murid dengan guru Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas).

Guru berkenaan meminta ibu kepada muridnya itu untuk menghantar sekeping gambar sebelum mencetakkannya di atas kertas lalu diserahkan kepada kanak-kanak terbabit dipercayai sebagai usaha memujuknya.

Usaha guru Tabika itu nampaknya berhasil apabila kanak-kanak berkenaan tersenyum gembira ketika memegang gambar ibunya malah turut meletakkan kertas tersebut di sisinya sepanjang mengikuti pembelajaran di dalam kelas.

@syahirshahuddin87

Ishhh la Dikmad oiii, mcm2 sungguh la drama hang ni.. Kelmarin suruh ibu tunggu kt tangga xbg balik nk suruh teman. Hari ni dia minta gambaq ibu habuan teman dlm kelas. Aci la kan? Hahahaha #tadikakemas #fyp #malaysiatiktok #ragam #cikgu #tadika #sekolah #anakibu . . . . . . #era #sinar #hotfm

♬ Funny Song – Bruno Portinho Trilhas para filmes

Menurut pemilik video di dalam ruangan kapsyen, kanak-kanak berkenaan dikatakan turut membuat ‘drama’ pada hari pertama persekolahan dengan meminta ibunya tidak pulang ke rumah selepas menghantarkannya ke Tabika.

Sebaliknya, ibu kepada murid itu diminta untuk tunggu di tangga sahaja supaya dapat menemaninya sepanjang sesi persekolahan berlangsung ekoran berikutan tidak mahu dirinya ditinggalkan.

Ish Dikmad (nama panggilan kanak-kanak terbabit) oii. Macam-macam sungguhlah drama hang ini. Kelmarin suruh ibu tunggu dekat tangga, tak benarkan untuk balik. Nak suruh teman.

“Hari ini dia minta gambar ibu sebagai habuan teman dia di dalam kelas. Aci (Adil)lah kan,” kata pemilik video dalam ruangan kapsyen video yang kini sudah meraih tontonan sebanyak 1.5 juta dari pengguna TikTok itu.

Baca juga: Kabur aja dulu…rakyat Indonesia luah hasrat berpindah ke Malaysia kerana banyak peluang kerja