Puas korek rahsia tauke, wanita akhirnya jumpa rahsia Kerepek Kentang Pedas kekal rangup

Oleh WAN SITI AMINAH

Seorang wanita berjaya mencuri perhatian ramai selepas memuat naik satu perkongsian mengenai pembuatan kudapan popular iaitu Kerepek Kentang Pedas di akaun media sosial miliknya.

Mana tidaknya, wanita berkenaan telah membongkarkan rahsia untuk menyediakan sendiri kudapan tersebut agar kekal rangup dalam tempoh lama di rumah selepas puas mengorek rahsia dari pengusaha kerepek.

Tidak perlu mengeluarkan belanja besar untuk membeli kerepek di kedai yang mana harganya semakin mahal, wanita bernama Mazidah Mohamed itu juga bersedia untuk menghalalkan ilmunya.

Memandangkan bulan Ramadan bakal tiba tidak lama lagi, orang ramai bolehlah mencuba untuk menyediakan kerepek ini sendiri di rumah sebagai kudapan selepas berbuka puasa nanti.

“Pernah jugalah tanya tauke kedai yang menjual Kerepek Kentang sedap di tempat saya ini. Minta petua nak bagi rangup kentang itu. Tetapi dia enggan membocorkan rahsianya.

“Saya cuba intai-intai (resepi) di sosial media. Kebetulan pula kentang ada banyak di rumah. Dengan gigihnya buat. Nampak mudah tetapi renyah juga rupanya.” Katanya dalam satu hantaran di platform Facebook.

Cara penyediaan Kerepek Kentang Pedas:

1. Cuci dan kupas kulit kentang. Kemudian, parutkan kentang yang sudah dibersihkan dengan nipis-nipis. Kemudian cuci semula sambil meramas-ramas hirisan tersebut.

2. Sediakan air yang menggelegak dan rebus hirisan kentang tersebut dalam tempoh 10 minit. Kemudian, masukkan hirisan yang telah direbus ke dalam sebekas air sejuk.

3. Rendam dalam masa 10 minit. Kemudian toskan sehingga airnya menjadi agak-agak kering sebelum digoreng dalam minyak panas seperti biasa mengikut selera. Kerepek kentang sudah siap!

4. Untuk sambal pula, petuanya seperti memasak sambal biasa tetapi jangan masukkan bawang merah. Hanya kisarkan bahan seperti bawang putih, halia dan lada kering.

5. Semasa memasak sambal, jangan lupa untuk masukkan gula dan garam mengikut selera anda. Setelah siap memasak, rehatkan seketika hingga sambal sejuk sedikit.

6. Kemudian, sambal tumis tersebut sudah boleh dicurahkan ke atas hirisan kentang yang telah anda goreng sebentar tadi. Gaul sehingga kerepek sebati dengan sambal.

Baca juga: “Harga RM20 untuk sebuah kemalasan” – Warganet pelik lihat peniaga tepi jalan letak harga mahal