Peguam ulas isu Fara Salleh dan Shuk Sahar, jelas kesan jika suami buat tuduhan li’an

Oleh WAN SITI AMINAH

Gempar di media sosial baru-baru ini apabila isteri kepada pelawak, Shuk Sahar iaitu Fara Salleh mendedahkan suatu perkara mengejutkan tentang masalah rumah tangga kini dihadapinya meskipun belum genap dua tahun ia dibina.

Menurut Fara, masalah itu berpunca daripada sikap Shuk yang didakwa mengabaikan tanggungjawabnya sebagai ketua keluarga selain tidak diendahkan oleh lelaki terbabit sepanjang ditahan di hospital untuk menerima rawatan.

Fara difahamkan perlu mendapatkan rawatan di hospital kerana mengalami pendarahan pada bahagian rahim dan kandungannya juga berisiko ekoran wanita terbabit turut memiliki masalah jantung yang sedia ada.

Menerusi pendedahan yang dibuat menerusi Instagram Story itu, Fara memaklumkan bahawa Shuk tidak pernah melawat di hospital malah pernah menuduhnya mengandungkan anak haram ketika mereka bercuti di Paris.

Konflik rumah tangga pasangan itu kemudian dilaporkan oleh media sehingga menimbulkan perbincangan orang ramai yang merasa khuatir dengan status perkahwinan mereka selepas Shuk membuat tuduhan sedemikian.

Laporan itu juga turut menarik perhatian peguam syarie dikenali sebagai Nuaim Razak yang memberi penjelasan tentang beratnya kesan dalam rumah tangga jika suami membuat tuduhan Li’an atau menuduh isteri berzina.

@nuaimrazak

Replying to @BlackRose_bloody Part 1: Ia bukanlah satu lafaz talak. Namun, jika berlaku tuduhan sedemikian oleh suami kepada isteri- Pihak-pihak kepada sesuatu perkahwinan yang telah mengangkat sumpah dengan cara Li’an mengikut Hukum Syarak di hadapan Hakim Syarie, maka perkahwinan tersebut akan difarakkan dan perlu hidup berasingan selama-lamanya. Anak tersebut juga tidak boleh dinasabkan kepada si bapa yang menafikan anak tersebut. #peguamsyarie#peguamsyariah#mahkamahsyariah#nuaimrazak#cerai#berpisah#sumpah#fyp#fypage#fyppp

♬ original sound – Nuaim Razak & Partners – Nuaim Razak & Partners

“Tahukah anda, ada satu jenis perceraian yang kesannya
adalah lebih besar daripada Talak Tiga. Kesannya apabila telah berpisah, jatuh talak mu’abbad iaitu haram untuk pasangan itu berkahwin semula buat selama-lamanya.

“Ia adalah perceraian secara Li’an yang perlu difailkan di Mahkamah Syariah. Macam mana boleh berlaku? Situasi pertama adalah apabila suami menuduh isterinya berzina dengan lelaki lain tanpa kemukakan empat orang saksi.

“Situasi kedua pula apabila suami tidak mengaku anak di dalam kandungan atau yang lahir dari isterinya itu adalah anaknya. Bagi kedua-dua situasi itu, suami dan isteri perlu bersumpah untuk membenarkan atau menafikan
tuduhan,” jelas peguam itu.

Walau bagaimanapun, peguam berkenaan menegaskan bahawa pasangan yang mengalami masalah seperti itu perlu merujuk kepada Mahkamah Syariah kerana proses mengangkat sumpah perlu dilakukan di hadapan Hakim Syarie.

Penjelasan itu dibuat oleh Nuaim menerusi satu hantaran di platform TikTok bagi menjawab persoalan orang ramai sekiranya talak terhadap Fara Salleh sudah jatuh selepas Shuk Sahar membuat tuduhan seperti didakwa isterinya.

“Janganlah menuduh tanpa asas dan bukti, kerana sesal kemudian tidak lagi berguna,” kata peguam itu memberi pesanan kepada para suami melalui hantaran yang turut ditonton oleh Fara Salleh.

Wanita itu kemudian berkongsi semula penerangan dari peguam terbabit menerusi hantaran di Instagram Story dan mengucapkan terima kasih berikutan memberikan jawapan kepada masalah yang dihadapinya selama ini.

Sekadar info, Fara Salleh dan Shuk Sahar mendirikan rumah tangga pada November 2023 selepas pelawak dan pengacara berkenaan bercerai dengan isteri pertamanya iaitu Rossa Sera pada 22 Mac tahun yang sama.

Baca juga: Akui khilaf, Saiful Apek anggap diri tak sedar hukum-hakam walau sudah ‘bau tanah’