Ibu jual semua barang kemas demi selamatkan Eda Ezrin, pindah Thailand buka kedai makan

Oleh MALAYSIADATELINE

Semua barang kemas milik penyanyi dikir barat Kelantan, Eda Ezrin terpaksa dijual oleh ibunya untuk menanggung kos guaman di Thailand yang berjumlah RM65,000 setiap seorang.

Perkara itu didedahkan sendiri oleh ibu kepada pelantun lagu popular, ‘Bae Sobar Bae’ terbabit iaitu Zahara Mamat ketika ditemui oleh pihak media di Mahkamah Wilayah Narathiwat, Thailand.

Ibu berusia 47 tahun itu bagaimanapun hanya menerima wang berjumlah RM26,000 hasil dari penjualan barangan kemas berkenaan sedangkan kos guaman untuk semua individu berjumlah RM264,000.

Zahara kemudian memutuskan untuk meminta bantuan daripada keluarga mentua Eda bagi menambah jumlah baki wang yang digunakan dalam urusan pembayaran kepada pihak peguam, lapor Harian Metro.

“Sebaik dimaklumkan perlu membayar kos peguam sebanyak 2 juta baht (RM264,000) untuk empat orang dan setiap orang perlu membayar RM65,000, sudah tentu saya tidak memiliki wang sebanyak itu.

“Jadi saya terpaksa menjual barang kemas milik Eda dan hasilnya diperoleh sebanyak RM26,000. Baki selebihnya saya terpaksa meminta bantuan keluarga mentua Eda untuk menambah jumlah berkenaan,” katanya memetik laporan Harian Metro.

Sang ibu yang sebelum ini berniaga di Tumpat, Kelantan juga mengambil keputusan untuk berpindah ke Tak Bai, Thailand supaya dapat memberi tumpuan sepenuhnya terhadap kes anaknya itu.

Difahamkan, Zahara sememangnya berasal dari Thailand namun berpindah ke Kelantan untuk tinggal di negeri tersebut selepas mendirikan rumah tangga dengan bekas suaminya iaitu bapa Eda.

“Justeru, saya juga sudah membuat keputusan untuk kekal berniaga dan tinggal di sini. Keputusan hari ini sudah membuktikan anak saya tidak bersalah dan Eda seorang anak yang baik,” ujarnya.

Terdahulu, pemilk nama sebenar Wan Norshaheeda Azlin Wan Ismail itu dibebaskan oleh pihak Mahkamah Wilayah Narathiwat pagi tadi bersama suami dan empat yang lain dari pertuduhan memiliki 6,059 biji pil yaba pada 1 November lalu.

Keputusan dibuat terhadap Wan Norshaheeda Azlin Wan Ismail, 30, dan suaminya Mohd Affendi Ahmad, 35, serta rakan Mohamad Alif Deraman, 33, Nur Aida Mamat, 33, Erdeka Mohd Noor, 33, dan Zuhaira Nasrin, 26, selepas dua panel hakim meneliti kesemua keterangan saksi pendakwaan semasa prosiding perbicaraan berlangsung.

Walau bagaimanapun, mereka semua masih perlu berada di dalam penjara untuk tempoh sekurang-kurangnya satu hingga empat bulan lagi bagi menunggu sekiranya pihak pendakwaan memfailkan rayuan terhadap keputusan yang dibuat mahkamah hari ini.

Baca juga: “Kalau tahu perbuatan mengundang kecaman, kenapa buat” – Ella