Siapa sangka, seorang suami tergamak memarahi isteri sendiri di khalayak ramai hanya kerana wanita berkenaan meminta untuk dibelikan kerepek kentang segera di sebuah pasar raya.
Kejadian dikatakan berlaku di kaunter pembayaran pasar raya di sekitar jam 9.30 malam yang turut disaksikan oleh salah seorang pengunjung susulan beratur di belakang pasangan suami isteri berkenaan.
Menurut saksi terbabit, segalanya bermula daripada satu permintaan dibuat sang isteri untuk membelikan kerepek kentang segera yang berharga RM3.80 kerana sudah lama tidak menyentuh makanan ringan tersebut.
Lelaki yang berbadan sasa itu bagaimanapun secara tiba-tiba naik angin dan terus bertindak memarahi isterinya di kaunter pembayaran di hadapan khalayak ramai tanpa memikirkan perasaan wanita terbabit.
“Semalam, saya pergilah beli barang dapur. Kelam-kabut sebab sudah pukul 9.30 malam. Kemudian saya beratur di belakang seorang lelaki bertubuh sasa. Tiba-tiba dengar dari belakang, ‘Yang, beli ini satu boleh? Lama tak makan’.
“Tangan isteri kepada lelaki itu sedang menunjuk ke arah kerepek kentang segera. Tidak ingat jenama Mister Potato atau Pringles. Tetapi harganya hanya RM3.80 sahaja. Anda semua tahu tak lelaki itu jawab apa?
“Kata si suami, ‘LAPAR SANGAT KE? MATI KE KALAU TAK MAKAN!’. Selepas itu, isterinya pandang saya. Tetapi saya hanya pandang bawah sebab tak sanggup tengok muka isteri yang mungkin sedang menahan malu,” kongsinya.
Perkongsian tersebut dimuat naik oleh saksi itu menerusi satu hantaran di platform Thread untuk dijadikan sebagai pengajaran tanpa mendedahkan lokasi kejadian mungkin untuk melindungi identiti pihak yang terlibat.
Dalam hantaran sama, saksi berkenaan turut memberikan nasihat kepada wanita di luar sana terutama buat mereka yang berniat mendirikan berumah tangga untuk menjana pendapatan sendiri agar tidak terlalu bergantung dengan suami.
Tinjauan di ruangan komen hantaran itu mendapati rata-rata pengguna menyelar tindakan suami dan berkongsi pendapat bahawa lelaki berkenaan seharusnya memilih cara berkomunikasi yang lebih baik jika tidak mempunyai duit lebih untuk membeli kerepek kentang tersebut.
Beberapa individu pula berpendapat bahawa sang suami mungkin bertindak sedemikian kerana mahu menjaga kesihatan isteri memandangkan badannya sendiri dalam kategori sasa namun lelaki berkenaan tidak sepatutnya memalukan wanita itu di khalayak ramai.
Baca juga: “Nak kelapa tambah RM2” – Netizen tercengang lihat kedai jual kuih apam tanpa kelapa parut