Ditawar RM20k hanya untuk bersembang, pelakon baru tolak permintaan pelik peminat

Oleh MALAYSIADATELINE

Lumrah apabila bergelar selebriti, apa sahaja yang dilakukan akan mendapat perhatian orang ramai.

Tidak kira pelakon lama atau baru, pastinya ada ramai yang dapat permintaan pelik menerusi media sosial.

Namanya baru sahaja dikenali dalam industri seni, pelakon Zarif Ghazzi berkongsi bagaimana dia pernah ditawar puluhan ribu ringgit hanya unntuk bersembang lapor Astro Gempak.

Bukan sedikit, Zarif memaklumkan individu tersebut sanggup membayar RM20,000 hanya untuk meluangkan masa dengannya.

“Saya pernah menerima tawaran, banyak sebenarnya tak kisah daripada lelaki atau perempuan ada yang menawarkan sampai berpuluh ribu.

“Saya pernah ditawarkan sebanyak RM20,000 bukan untuk teman makan atau shopping tapi hanya untuk pergi ke taman dan borak-borak sahaja.

“Jumlah itu memang banyak tapi Alhamdulillah saya masih kuat lagi untuk tidak termakan umpan itu.

“Dan saya memang tidak akan membalas langsung selalunya saya akan tengok sahaja,” katanya seperti dipetik Astro Gempak.

Meskipun menerima pelbagai mesej pelik, Zarif masih menghormati mereka sebagai peminat dan berterima kasih atas sokongan diberikan kepadanya.

“Banyak sebenarnya, lagi-lagi dekat bahagian request mesej. Selalunya saya akan baca sahaja.

“Sebab sebagai manusia biasa saya pun terfikir kenapa, cuma saya hanya anggap mereka sebagai peminat dan terima kasih kerana menyokong saya,” tambahnya.

Baca juga: Jep beri bayangan 2 anak autisme, anggap hadiah buat air mata tak berhenti mengalir