Ada pekerja gig tak mahu carum KWSP sebab nanti susah nak keluarkan

Oleh KIM SYAZIE

Pakar ekonomi mendedahkan kebanyakan pekerja ekonomi gig tidak mahu mencarum dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Ini didorong pemikiran bahawa wang yang sudah dimasukkan ke KWSP tidak boleh lagi dikeluarkan sesuka hati

Selain itu mereka berdepan dengan ketidaktentuan jumlah pendapatan setiap hari menyebabkan lebihan pendapatan terlalu sedikit untuk dicarumkan.

Penganalisis Ekonomi dari Putra Business School (PBS), Prof Madya Dr Ahmed Razman berkata, gaji yang tidak konsisten setiap bulan menyukarkan pekerja di dalam ekonomi itu untuk mengenalpasti jumlah sesuai untuk dicarum.

“Malah, wujud anggapan oleh pekerja gig itu sendiri bahawa pekerjaan dilakukan adalah kerja sementara.

“Justeru, mereka menganggap simpanan KWSP hanya sesuai untuk mereka yang bekerja tetap sahaja.

“Keperluan mendesak pada masa kini yang memerlukan pekerja gig mempunyai simpanan yang boleh digunakan pada bila-bila masa menyebabkan mereka tidak mahu mencarum. Ini kerana jika mereka mencarum (KWSP), wang itu tidak dapat dikeluarkan sesuka hati,” katanya menurut Harian Metro.

Sebelum ini dilaporkan sekitar 97 peratus atau 1.08 juta daripada 1.2 juta pekerja ekonomi gig tidak mencarum dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) walaupun kerajaan memperkenalkan Insentif Persaraan menerusi skim i-Saraan.

Perkara ini bermakna hampir semua pekerja ekonomi gig dengan 80 peratus membabitkan anak muda berisiko tiada simpanan minimum RM240,000 bagi menampung perbelanjaan selepas mereka mencapai usia 55 tahun.

Baca juga: “Lain macam hadiah tahun ni” – Noorkhiriah dapat set kain kafan daripada suami