Ketua Balai Polis ditahan lepas ambil ‘jus’ di pusat hiburan, positif 4 jenis dadah

Oleh MALAYSIADATELINE

Seorang ketua balai polis ditahan selepas ujian air kencing dijalankan ke atasnya mengesan kehadiran empat jenis bahan terlarang dalam tubuh ketika sedang berhibur di sebuah pusat hiburan pada Jumaat lalu.

Penahanan ke atas lelaki berusia 43 tahun itu dilakukan susulan pemeriksaan mengejut oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman kira-kira pada pukul 5.05 petang susulan menerima aduan dan maklumat.

Ketika pemeriksaan dilakukan, pegawai terbabit sedang asyik berhibur dan dipercayai mengambil jus yang disyaki mengandungi dadah di pusat hiburan terletak di Pandan Perdana, Ampang Jaya itu, lapor Berita Harian.

Ujian saringan awal air kencing mendapati suspek yang merupakan pegawai kanan berpangkat inspektor itu positif dadah jenis amphetamine, methamphetamine, ketamin, dan benzo.

Pegawai terbabit dipercayai mengambil bahan terlarang itu melalui minuman jus yang dibekalkan oleh seorang individu di pusat hiburan berkenaan

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan ketika dihubungi oleh pihak media mengesahkan penahanan pegawai polis terbabit di mana siasatan dibuat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Kes ini disiasat Polis Kontinjen Selangor dan ketua balai polis terbabit direman dua hari bagi membantu siasatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Baca juga: Beli barang ‘online’, remaja lelaki kantoi menyamar jadi penolong pegawai perubatan