Satu rakaman yang memaparkan seorang penunggang motosikal terbabas di sebuah jalan raya sehingga hampir masuk ke dalam longkang telah berjaya meraih perhatian orang ramai, baru-baru ini.
Mana tidaknya, kejadian tersebut berlaku sejurus pemuda berkenaan membantu penunggang motosikal lain yang ketika itu sedang menjalankan tugas sebagai ‘rider’ atau penghantar makanan.
Berdasarkan rakaman yang dimuat naik di laman TikTok, terlihat pemuda terbabit sedang menunggang motosikal di jalan raya sebelum terserempak dengan seorang rider yang lupa menaikkan tongkatnya.
Pemuda yang khuatir dengan keselamatan rider terbabit kemudian segera bertindak menegur dan membunyikan hon supaya tongkat diangkat namun lupa mengekalkan fokusnya ke hadapan.
Akibatnya, motosikal pemuda berkenaan sudah menaiki pembahagi jalan sebaik mengalihkan pandangannya ke hadapan ketika sedang melalui selekoh sebelum terbabas memasuki laluan seberang.
Pemuda itu bagaimanapun bernasib baik kerana sempat memberhentikan motosikalnya sebelum masuk ke dalam longkang malah tiada kenderaan lain juga berada di lokasi kejadian ketika insiden tersebut berlaku.
“Niat nak tegur tongkat rider penghantar makanan itu. Salah saya juga sebab tegur masa melalui selekoh. Memang sekali pandang, zass (terbabas) terbang,” kata penunggang motosikal itu di ruangan kapsyen.
Dalam rakaman berdurasi satu minit enam saat itu juga, kelihatan rider terbabit membuat pusingan U ke seberang jalan untuk melihat keadaan penunggang motosikal yang sudah membantunya sebentar tadi.
Pemuda itu kemudian mengadu kepada rider bahawa telefon bimbit miliknya hilang dipercayai tercicir selepas kejadian tersebut namun tidak mengalami sebarang kecederaan.
Setakat artikel ini ditulis, perkongsian itu sudah berjaya meraih sebanyak 1.7 juta tontonan dan 110,900 tanda suka dari pengguna TikTok yang mengakui terhibur menonton video tersebut selain bersyukur semuanya selamat.
