Tak boleh ‘test’ kalau tak beli charger, 2 wanita mengamuk, siap tarik tudung juruwang sebelum curi barang

Oleh MALAYSIADATELINE

Pastinya setiap pekerja perlu mengikut arahan diberikan orang atasan dan kebanyakan barangan seperti kabel untuk mengecas telefon perlu dibayar terlebih dahulu.

Ini adalah kebiasaan untuk membayar kerana resit diberikan boleh membantu seandainya kabel tersebut tidak dapat digunakan.

Tular di Facebook, seorang ibu kepada juruwang di sebuah kedai serbaneka di Sitiawan, Perak, Saazlina Azizyusuf berkongsi perihal anaknya diserang pelanggan hingga tercabut tudung.

Kejadian yang berlaku sekitar 3 pagi itu bermula apabila juruwang tersebut memaklumkan bahawa kabel yang mahu dibeli perlu dibayar terlebih dahulu.

“Anak saya yang bekerja pada masa tu telah di serang oleh dua orang pelanggan dari neraka ni.

“Dia hanya menjalankan kerja seperti prosedur yang ditetapkan, tak boleh ‘test’ kabel melainkan beli terlebih dahulu.

“Pelanggan berkeras tak mahu bayar tapi nak cuba kabel telefon itu boleh mengecas atau tidak, bila tak dibenarkan, mereka menampar dan menarik tudung anak hingga tercabut,” kongsinya dalam hantaran di Facebook.

Pada masa sama Saazlina memaklumkan laporan polis sudah dibuat dan berharap orang ramai dapat membantu mencari dua wanita tersebut.

“Laporan polis sudah dibuat, mereka bukan hanya mencederakan anak saya malah mereka juga mencuri kabel dan pengecas telefon yang berada di atas kaunter,” kongsinya.

Baca juga: Konon nak bantu ‘rider’ lupa naikkan tongkat, sekali diri sendiri terbabas hampir masuk longkang