Meskipun banyak anak seni yang fokus kepada kerjaya sebagai pelakon dan penyanyi sahaja, ada segelintir memilih untuk meneruskan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.
Mula dikenali selepas bergelar juara program realiti One In A Million (OIAM) musim kedua, Ayu Damit bagaimanapun mengakui sudah tidak mahu menyertai program realiti lagi.
Jelasnya, dia kini mahu menumpukan perhatian untuk menyelesaikan peringkat Ijazah Sarjana Muda lapor Kosmo! Online.
Kemudian Ayu mahu mendapatkan Sarjana bagi melayakkan diri sebagai pensyarah sebelum mencabar diri untuk mendapatkan pengajian Doktor Falsafah (PhD) satu masa nanti.
“Sudah sampai masa saya elak sertai program realiti televisyen sebab saya kini sudah tiada masa untuk itu. Sekarang saya kejar Master (Sarjana) agar dapat mengajar. Selepas itu mahu kejar PhD pula.
“Saya memang bercita-cita nak kongsi ilmu dan pengalaman dengan jadi pensyarah. Suami pun cakap tak payah masuk program realiti lagi. Jangan nak peningkan kepala sendiri.
“Ketika sertai Gegar Vaganza tujuh (GV7), saya kena migrain sebab banyak komitmen perlu saya penuhi dengan cuma ada satu hari sahaja untuk berehat.
“Saya dah lalui semuanya dan tiba masa saya berhenti daripada sertai program realiti nyanyian,” katanya seperti dipetik Kosmo! Online.
Tiada niat mahu mengundurkan diri sebagai penyanyi, Ayu bagaimanapun mahu memenuhi cita-cita sebagai seorang pensyarah.
“Saya meletakkan sasaran sampai usia 45 tahun melengkapkan cita-cita menjadi tenaga pengajar kerana sampai bila saya mahu menyanyi?
“Bukan bermakna saya mahu berundur terus tetapi lebih kepada penuhi cita-cita sebagai pensyarah.
“Sekarang saya sambung pengajian di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) Ijazah Sarjana Muda Asasi Seni Kreatif, tapi saya cuma perlahankan nyanyian pada usia 45 tahun kerana mahu lebih relaks.
“Selepas selesai pengajian ijazah lagi dua tahun, saya akan mengajar dulu. Insya-Allah, jika semuanya lancar, saya sambung pula ke peringkat seterusnya,” ujarnya.
Baca juga: