Rozita Ibrahim sudah ambil tindakan, tenang hadapi dakwaan tak bayar hutang kontraktor

Oleh WAN SITI AMINAH

Gempar di media sosial baru-baru ini apabila ada individu mendakwa ahli perniagaan terkenal, Rozita Ibrahim tidak melunaskan bayaran untuk kerja-kerja pengubahsuaian kediamannya yang terletak di London, United Kingdom.

Dakwaan tersebut menjadi topik perbincangan hangat di kalangan netizen sebelum usahawan yang mesra disapa sebagai Bonda Rozita itu tampil memberikan penjelasan mengenai isu berkenaan di akaun media sosial miliknya.

Menerusi satu hantaran video di akaun TikTok, usahawan berusia 61 tahun itu terlihat tenang ketika memaklumkan bahawa tindakan undang-undang telah diambil terhadap pihak yang dikatakan kontraktor tersebut.

Tindakan tersebut difahamkan diambil menerusi peguam yang mewakilinya di London dan Malaysia namun Bonda Rozita enggan mengulas lanjut secara terperinci tentang masalah dialaminya bersama individu berkenaan.

“Isu tular baru-baru ini, saya dikatakan tidak membayar hutang kepada kontraktor. Saya tidak mahu memberikan ulasan lanjut mengenai spekulasi ini. Tetapi saya berani untuk menjelaskan bahawa tindakan sudah diambil.

“Melalui peguam di London dan juga peguam di Malaysia. Jadi jika anda sudah melihat isu tular ini, kita nantikan tindakan peguam saya untuk selanjutnya,” katanya dalam video berdurasi 33 saat itu.

Dalam perkongsian yang sama, usahawan terbabit turut menegaskan bahawa dirinya sebelum ini tidak pernah culas membuat bayaran membabitkan perniagaannya termasuklah bagi projek mega Rumah Hutan Bonda.

Jelasnya, kos projek tersebut selain perbelanjaan kilang-kilang dan bahan mentah untuk perniagaan produk jamu miliknya juga telah mencecah nilai puluhan juta ringgit namun tidak pernah lari daripada membuat bayaran.

Dakwaan ini timbul selepas seorang individu mendakwa Bonda Rozita mengupahnya untuk membuat kerja ubah suai termasuk tandas, karpet mewah untuk tujuh bilik dan tangga di kediaman mewah miliknya.

Namun hingga ke hari ini, individu terbabit masih belum menerima sebarang pembayaran daripada usahawan itu walaupun pengubahsuaian di kediaman mewah terletak di London berkenaan telah dilakukan.

Individu itu juga mendakwa akaun media sosial miliknya telah disekat oleh Bonda Rozita apabila bertindak untuk mengajukan pertanyaan mengenai perkara berkenaan sebagai usaha untuk mendapatkan bayaran.

Baca juga: PU Syed tegur MB Kedah tak usahlah buat benda lagha, tumpu je urusan rakyat