Tak sempat seludup beras Siam, lelaki nekad tinggalkan lori ditepi jalan sebelum larikan diri

Oleh MALAYSIADATELINE

Masih ada yang buat kerja haram dengan menyeludup beras Siam masuk ke dalam negara ini, bila kantoi terus larikan diri.

Seorang lelaki disyaki menyeludup beras Siam didakwa memecut lori yang dipandunya selepas menyedari kenderaannya diekori pihak berkuasa.

Kejadian tersebut dikatakan berlaku di Jalan Kota Bharu-Pasir Puteh, Kelantan lapor Harian Metro.

Dalam kejadian yang berlaku pada 11 pagi itu, sepasukan pegawai dan anggota Unit Risikan Marin, Markas Operasi Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga, Pengkalan Kubor dikatakan menjalankan Ops Taring Landai/Kontraban.

Menurut Komander PPM Wilayah Tiga, Asisten Komisioner Zulafendy Hassan, pihaknya menjalankan risikan dalam tempoh seminggu sebelum bertindak sebaik melihat lori Hino itu.

“Sebaik menyedari kehadiran pihak kami, pemandu lori terbabit memecut lori itu sebelum memberhentikannya di bahu jalan sebaik tiba di Kampung Mahligai, Bachok.

“Pemandunya, seorang lelaki dewasa keluar dari kenderaan dan melarikan diri ke dalam semak berhampiran sebelum pasukan kami mengejarnya, namun dia gagal ditemukan.

“Pemeriksaan dijalankan terhadap lori terbabit dan menemukan 44 kampit beras Siam dengan berat keseluruhan 1.1 tan dianggarkan bernilai RM4,400,” katanya dalam kenyataan media.

Beras itu dipercayai dibawa masuk menerusi Sungai Golok di Pengkalan Kubor, Tumpat dan dipercayai untuk pasaran di selatan Kelantan serta Pasir Puteh.

Jelasnya, keseluruhan barang rampasan yang dianggarkan bernilai RM84,400 termasuk lori dibawa balik ke Markas Operasi PPM Wilayah Tiga Pengkalan Kubor.

Kesemua ramapasan akan diserahkan kepada Jabatan Kawal Selia Padi Dan Beras Negara untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 20, Akta Padi dan Beras Negara 1994,” katanya.

Baca juga: Yassin Senario akhirnya muncul dalam ‘live’ di TikTok, jawab pertanyaan bila balik Malaysia