Peguam tegur tindakan isteri tular mesej suami curang dengan cikgu, boleh kena saman!

Oleh WAN SITI AMINAH

Gempar di platform media sosial sejak Sabtu lalu apabila seorang wanita tampil mendedahkan hubungan terlarang dijalani oleh suaminya dengan seorang guru perempuan yang masih berstatus isteri orang.

Menerusi perkongsian di akaun Facebook miliknya, wanita terbabit mendakwa suaminya yang menawarkan khidmat memasang kamera litar tertutup (CCTV) dan pendawaian elektrik itu telah berzina pada bulan Ramadan.

Sang isteri turut memuat naik tangkap layar memaparkan perbualan berunsur lucah melibatkan suaminya dengan guru yang dikatakan masih berada di dalam tempoh idah tersebut di dalam perkongsian sama.

Berdasarkan perbualan menerusi aplikasi Whatsapp itu, mereka berdua seakan-akan memberi bayangan bahawa hubungan di luar tabii yang bertentangan dengan agama Islam juga telah berlaku ketika kejadian.

Perkara ini telah membangkitkan kemarahan orang ramai terutamanya terhadap guru berkenaan memandangkan perbuatannya itu turut menconteng arang kepada latar belakang pekerjaannya selaku pendidik.

Isu ini turut menarik perhatian seorang peguam dikenali sebagai Nor Zabetha yang tampil menegur tindakan sang isteri menularkan kecurangan suaminya hingga dikhuatiri boleh menjatuhkan maruah guru berkenaan.

“Jelas dengan cara tularkan mesej-mesej Whatsapp, dari segi undang-undang memang si cikgu boleh menyaman kerana jatuhkan reputasi. Sebab memang kita tidak boleh mengambil undang-undang di tangan sendiri walaupun si cikgu salah dan juga suami wanita itu salah.

“Dalam situasi kes sedang tular ini. Segala mesej berunsur kelucahan di muat naik. Video konfrontasi dengan cikgu juga dikongsi dan ditularkan. Tetapi semuanya difokuskan tentang cikgu itu. Sedangkan kepada si suami, fokusnya sangat sedikit!

“Apa yang dilondehkan oleh pasangan ini sewaktu curang di antara mereka dalam Whatsapp, sekarang dilondehkan di khalayak ramai untuk tontonan kita semua. Seperti didedahkan segala aib sehingga tiada seurat benang pun yang tinggal untuk tatapan kita semua,” katanya.

Menurut peguam itu juga, tindakan isteri yang membuat pendedahan melibatkan kelucahan ini boleh dikenakan tindakan undang-undang termasuk berhadapan dengan tuntutan sivil daripada pihak guru terbabit.

Jelasnya, kesalahan yang telah dilakukan oleh suaminya bersama guru berkenaan tidak memberikan lesen kepada isteri terbabit untuk melakukan kesilapan lain dengan menularkan perbuatan mereka untuk tontonan umum.

“Kalau di mahkamah, kumpulan yang konfrontasi dengan membuat naik video dan segala mesej kelucahan ini memang boleh diambil tindakan. Satu kesalahan bawah kesalahan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana telah memuat naik kandungan yang jelik.

“Selain itu lucah atau sumbang dengan niat untuk menganiaya dan menyakitkan hati orang lain. Satu lagi tuntutan sivil kerana telah menjatuhkan reputasi guru itu. Sebab undang-undang ini ada salurannya. Asasnya proses undang-undang tak membenarkan orang tembak anak kita dan kita tembak orang itu.

“Ini adalah antara contoh mudah faham. Saya mungkin akan kongsikan pandangan ini dan rumusan penerimaan masyarakat dalam sesi ceramah seterusnya berkenaan dengan pandangan ‘court of public opinion‘.” Kongsi peguam itu menerusi satu hantaran di platform Facebook.

Baca juga: Tak sempat seludup beras Siam, lelaki nekad tinggalkan lori ditepi jalan sebelum larikan diri