Siapa sangka, seorang suami yang sanggup meletakkan 100 peratus usahanya di dalam memastikan keharmonian rumah tangga tetap dikhianati isteri tersayang dengan berlaku curang.
Namun perkara yang lebih menusuk hati adalah tindakan isterinya menjalinkan hubungan sulit dengan ‘kawan baik’ sedangkan lelaki berkenaan dikatakan ‘gay’ atau memiliki ketertarikan terhadap kaum sejenis.
Kecurangan wanita terbabit akhirnya terbongkar selepas suaminya menemukan gambar mesranya bersama lelaki berkenaan termasuk perbualan mereka di dalam telefon bimbit milik isterinya.
Kejadian itu kemudian diceritakan semula oleh kenalan rapat mereka menerusi satu perkongsian dimuat naik di laman media sosial Threads tanpa mendedahkan indentiti sebenar pihak yang terlibat.
“Baru-baru ini terjadi dekat kenalan rapat. Sang suami itu punyalah sebaik-baik alam. Sudah tanggung si isteri dari mereka pasangan kekasih lagi. Banyaklah dia berbelanja dekat si perempuan itu.
“Memang jenis lelaki yang meletakkan 100 peratus usaha dalam menunaikan nafkah dan tanggungjawab sebagai suami. Sekali kantoilah rupanya si perempuan ada ‘kawan baik’ lelaki yang kononnya gay.
“Siap ada gambar laga-laga pipi dalam kereta. Perempuan itu juga ada menghantar gambar ‘selfi’ atau swafoto seksi kepada lelaki terbabit,” kongsi kenalan rapat pasangan itu dalam hantaran tersebut.
Dalam perkongsian yang sama, kenalan itu memberitahu bahawa lelaki terbabit berkemungkinan bukanlah gay kerana menggunakan gelaran ‘Baby’ dan ‘Sayang’ dalam bukti perbualan bersama isteri orang berkenaan.
Malah kenalan itu juga mendakwa nombor telefon bimbit miliknya telah disekat oleh si isteri setelah menyampaikan teguran dalam bentuk sindiran menerusi status di aplikasi perbualan atas talian.
“Selepas kantoi, terus si isteri muat naik status mengenai Tuhan. Katanya, ‘Allah sentiasa berada dengan kita yang sedang mengalami kesusahan’. Aku juga kongsi status, ‘Allah juga berada di situ ketika anda bermaksiat’.
“Kemudian saya kena sekat,” kata kenalan terbabit yang memaklumkan dirinya memang mengelak daripada terus berkawan dengan orang sedemikian kerana tidak mahu menormalisasikan maksiat.
Baca juga: Kajian luar senaraikan Malaysia di tangga keenam dunia paling kuat ‘mencarut’