Keputusan Mahkamah Tinggi tolak permohonan PM bukti mahkamah negara ini bebas

Oleh BORHAN AHMAD

Keputusan Mahkamah Tinggi menolak permohonan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk merujuk lapan persoalan undang-undang ke Mahkamah Persekutuan bagi menentukan kedudukan Perdana Menteri daripada tindakan saman membuktikan mahkamah negara ini bebas.

Inilah komen segera para ahli politik dan netizen ekoran keputusan Hakim Mahkamah Tinggi, Roz Mawar Rozain ke atas permohonan Perdana Menteri itu.

“Keputusan Mahkamah Tinggi dalam kes permohonan rujukan persoalan undang-undang ke Mahkamah Persekutuan menunjukkan bahawa sistem kehakiman kita bebas,” kata peguam yang juga ahli parlimen Bangi dari DAP, Syahredzan Johan.

Hakim Roz Mawar menolak permohonan Perdana Menteri selepas berpuas hati semua lapan persoalan undang-undang itu tidak melepasi `ambang’ (threshold) untuk rujukan ke mahkamah tertinggi negara.

Mahkamah turut memberikan kos RM20,000 untuk dibayar oleh Anwar.

Dengan keputusan tersebut, Hakim Roz Mawar memerintahkan perbicaraan yang dijadualkan bermula bulan ini selama tujuh hari iaitu pada 16 hingga 19 Jun dan 23 hingga 25 Jun, dimulakan pendengarannya.

Ekoran keputusan itu, peguam Anwar memaklumkan kepada mahkamah, pihaknya akan membuat rayuan kepada mahkamah yang lebih tinggi.

Dua minggu lalu, Anwar memfailkan permohonan untuk merujuk lapan persoalan itu ke Mahkamah Persekutuan bagi menentukan sama ada Perdana Menteri mempunyai kekebalan daripada saman yang difailkan oleh Muhammad Yusoff Rawther.

“Ini maknanya mahkamah bebas daripada campur tangan politik.. selepas ini jika ada keputusan mahkamah terhadap orang-orang politik.. bolehlah dipercayai.. tak kiralah siapa yang kena..,” tulis netizen yang menggunakan nama Pak Mil dalam komen beliau.

“Ini bukti mahkamah tidak dipegang,” kata Edynoor Ridzuan dalam komen beliau mengenai perkara ini.

Sementara itu, seorang peguam, Abdullah Abdul Karim pula memperbetulkan persepsi bahawa Anwar memohon imuniti dalam permohonan beliau itu.

“Jangan membohong. Bukan permohonan mendapatkan imuniti. Tapi permohonan merujuk persoalan Perlembagaan berkenaan saman sivil ke atas Perdana Menteri,” kata beliau.