Semua telco jamin, tiada kompromi dengan privasi, data pelanggan

Oleh BORHAN AHMAD

Hampir kesemua syarikat telekomunikasi memberikan jaminan untuk memberikan kerjasama kepada Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM), tanpa berkompromi dengan privasi dan perlindungan data pelanggan masing-masing.

Syarikat telekomunikasi Maxis menjelaskan, dalam kenyataannya berkata, pihaknya telah memberikan keutamaan tertinggi terhadap orivas dan keselamatan data.

“Bagi inisiatif ini yang diminta oleh SKMM, tiada akses kepada, pemprosesan, atau perkongsian maklumat pengenalan peribadi pada sebarang peringkat.

“Kesemua data dianonimkan oleh Maxis dan diproses secara agregat dalam persekitaran yang selamat, mematuhi sepenuhnya Akta Perlindungan Data Peribadi (PDPA) 2010,” kata Maxiz dalam kenyataannya hari ini.

U Mobile juga menegaskan bahawa privasi dan perlindungan data pelanggan adalah keutamaan penting bagi kami.

“Kami sedar akan objektif inisiatif ini dan komited untuk terus bekerjasama dengan SKMM dengan memastikan standard tertinggi dalam tadbir urus data pelanggan.

“U Mobile telah menetapkan polisi dan proses bagi memastikan sebarang data yang dikongsi adalah dianonimkan sepenuhnya, diagregatkan dan dikendalikan mengikut undang-undang serta peraturan perlindungan data yang berkuat kuasa,” kata U Mobile dalam kenyataanya.

TM juga menjelaskan bahawa Data Telefon Bimbit (MPD) yang dikemukakan kepada SKMM adalah dalam bentuk anonim dan tidak mengandungi sebarang maklumat peribadi yang boleh dikenal pasti.

Pengemukaan data ini dilaksanakan di bawah tadbir urus dan protokol keselamatan yang ketat, dengan pematuhan sepenuhnya terhadap dasar syarikat yang berkaitan serta undang-undang dan peraturan kawal selia negara.

“TM kekal komited dalam memastikan keselamatan dan privasi data pelanggan terus terpelihara dengan penuh tanggungjawab dan integrity,” kata TM dalam kenyataanya.

Kenyataan yang sama juga dikeluarkan oleh CelcomDigi dan juga Yes.

Terdahulu Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil memberi jaminan syarikat telekomunikasi (telco) tidak akan memberikan sebarang maklumat yang memiliki data peribadi individu kepada mana-mana pihak.

Beliau berkata, perkara tersebut lebih menunjuk kepada trend supaya maklumat yang lebih terperinci dapat dikumpulkan mengenai mutu, tahap perkhidmatan dan jumlah pengguna yang ada di satu-satu mukim atau daerah.

Sebelum ini, SKMM mempertahankan arahannya yang mewajibkan syarikat telekomunikasi menyerahkan data semua panggilan telefon bimbit dibuat dari Januari hingga Mac.

Suruhanjaya itu berkata tiada maklumat peribadi yang akan diakses, diproses atau didedahkan oleh SKMM.