Ini punca Najib Razak dilepas tanpa bebas atas 3 tuduhan gubah wang haram SRC RM27juta

Oleh MALAYSIADATELINE

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini melepas tanpa membebaskan (DNAA) Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dari tiga pertuduhan pengubahan wang haram dari dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM27 juta.

Keputusan tersebut diputuskan oleh Hakim K.Muniandy selepas membenarkan permohonan daripada pihak pembelaan Najib supaya bekas Ahli Parlimen Pekan itu dilepas tanpa dibebaskan.

Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib dalam hujahannya sebelum ini memohon supaya bekas ahli politik berusia 72 tahun terbabit dilepas tanpa dibebaskan daripada tiga pertuduhan itu.

Hal ini kerana menurut Muhammad Shafee, pertuduhan terhadap Najib telah dibuat pada tahun 2019 di mana ia sudah mengambil masa selama enam tahun, manakala representasi pula telah dikemukakan pada 31 Julai 2023.

Oleh yang demikian, DNAA adalah keputusan terbaik untuk diberikan kepada anak guamnya buat masa ini dengan mengambil kira faktor garis masa malah perbicaraan kes itu juga tidak pasti bilakah akan dimulakan, lapor Kosmo.

Terdahulu, Najib pada 3 Februari 2019 telah didakwa atas tiga pertuduhan menerima wang berjumlah RM27 juta pada 8 Julai 2014 hasil kegiatan haram menerusi tiga akaun bank AmPrivate Banking miliknya di AmIslamic Bank Berhad, Bangunan Ambank Group, Jalan Raja Chulan.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM5 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Najib kini sedang menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan atas kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International yang juga merupakan syarikat pelaburan strategik itu.

Hukuman penjara selama 12 tahun dan denda RM210 juta itu dijatuhkan ke atas Najib sebelum ini oleh Mahkamah Tinggi dan keputusan tersebut dikekalkan Mahkamah Rayuan dan Persekutuan selepas menolak rayuannya.

Najib kemudian memfailkan petisyen Pengampunan Diraja pada 2 September 2022 sebelum hukuman penjara daripada 12 tahun dikurangkan kepada enam tahun oleh Lembaga Pengampunan manakala denda pula diturunkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Baca juga: Peniaga buah tempatan akan dapat manfaat dengan SST baharu, kenapa ya