Usahawan dan pempengaruh, Ridzuan Ridzokumura kembali mencuri perhatian ramai selepas memuat naik rakaman memaparkan anak tunggalnya iaitu Sky Taizo Okumura di akaun TikTok miliknya, baru-baru ini.
Menerusi rakaman berdurasi 37 saat itu, remaja berusia 13 tahun terbabit dilihat berada di satu sudut ruangan tidak berjauhan daripada bapanya untuk mengerjakan solat di sebuah restoran.
Ridzuan menerusi ruangan kapsyen video memaklumkan bahawa Sky memang berazam untuk tidak meninggalkan solat kerana ingin sentiasa mendoakan arwah ibunya iaitu Allahyarham Akiko Okumura.
Pemilik nama sebenar Abd Ridzuan Abdul Mutalib itu turut mengungkapkan rasa syukur selain mengakui perlu lebih banyak menimba ilmu selepas ini khususnya untuk mendalami agama Islam.
“Alhamdulillah. Banyak lagi Sky dan saya kena belajar. Sky kata dia tak mahu tinggalkan solat. Sebab selepas solat, Sky sentiasa berdoa untuk arwah ibunya,” kata Ridzuan di ruangan kapsyen hantaran tersebut.
Tinjauan di ruangan komen hantaran itu mendapati rata-rata pengguna memuji sikap Sky yang tidak culas dalam menunaikan rukun Islam kedua selain mendoakan agar remaja terbabit tetap beristiqamah dalam ibadah.
Ramai juga pengguna memberi cadangan agar Ridzuan menghantar anaknya ke kelas agama memandangkan gerakan solat remaja terbabit tampak kekok dalam video dikongsikan oleh usahawan itu.
Usahawan berusia 50 tahun itu kemudian memberitahu orang ramai di ruangan komen agar mereka tidak merasa bimbang kerana anaknya kini dibimbing oleh seorang ustaz untuk memperbaiki solatnya.
Terdahulu Allahyarham Akiko atau nama Islamnya, Nur Aishah Abdullah dilaporkan meninggal dunia pada 28 Februari lalu akibat terjatuh dari tingkat empat di sebuah kondominium yang terletak di Subang Jaya, Selangor.
Sekadar info, Ridzuan mendirikan rumah tangga dengan Akiko yang merupakan warganegara Jepun pada Februari 2009 dan hasil dari perkahwinan itu, mereka dikurniakan cahaya mata lelaki tunggal iaitu Sky.
Baca juga: Gen Z pemalas? Cik B dedah pendapatan sebulan dia lebih setengah juta ringgit