Malaysia sertai pencalunan ke ITU, umum Fahmi di Geneva

Oleh BORHAN AHMAD

Malaysia telah mengumumkan secara rasmi pencalonannya untuk pemilihan semula ke Majlis Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) bagi penggal 2027-2030.

Pengumuman tersebut dibuat oleh Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, semasa sesi ucapan pemimpin di Acara Peringkat Tinggi Sidang Kemuncak Dunia mengenai Masyarakat Bermaklumat+20 (WSIS+20) di Geneva, hari ini.

Fahmi berkata Malaysia kekal sebagai pemain aktif dalam ITU, daripada janji Partner2Connect kepada pengerusian Kumpulan Kajian ITU dan penganjuran program pembinaan kapasiti.

“Sehubungan itu, kami memohon pemilihan semula ke Majlis ITU bagi penggal 2027–2030. Matlamat kami jelas: untuk membantu membina sebuah masyarakat global yang lebih berhubung, berpengetahuan dan inklusif.

“Kami mengulangi komitmen penuh kami untuk bekerjasama dengan semua rakan kongsi bagi meningkatkan keterangkuman digital, mengukuhkan daya tahan dan memastikan tiada siapa yang tertinggal dalam era digital ini,” tambah beliau.

(Fahmi bergambar bersama pemimpin dari negara dalam sidang ITU di Geneva – foto BERNAMA)

Malaysia kini merupakan ahli Majlis ITU yang telah dipilih bagi penggal 2023-2026, yang membolehkan negara ini menyertai usaha membentuk hala tuju dasar strategik ITU dan mewakili kepentingan rantau Asia dalam bidang telekomunikasi dan infrastruktur digital.

ITU ialah agensi khusus Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi telekomunikasi dan teknologi digital yang memperuntukkan spektrum frekuensi radio, membangunkan piawaian antarabangsa untuk memastikan keserasian rangkaian komunikasi serta berusaha merapatkan jurang digital di seluruh dunia.