Gadis tanya ‘macam mana korang boleh keluar dari kepompong B40?’ – Netizen kata jawapannya pendidikan

Oleh KIM SYAZIE

Seorang pengguna sosial membangkitkan persoalan yang agak menarik apabila bertanya kepada mereka yang datang dari keluarga B40, bagaimana mereka berjaya mengubah taraf hidup dan keluar dari kepompong kemiskinan.

Pengguna itu bertanya ringkas: “Siapa lahir dari keluarga B40 dan berjaya keluar dari kepompong B40? Macam mana korang boleh keluar dari kepompong B40 itu?”.

Pertanyaan ringkas itu ternyata membuka ruang perbincangan lebih ilmiah dalam kalangan rakyat Malaysia yang berkongsi kisah perjuangan masing-masing.

Hampir kesemua jawapan yang diberikan bersetuju dengan satu faktor iaitu pendidikan.

“Pendidikan. Ayah saya seorang penoreh getah dan mak saya seorang buruh. Saya sekarang pensyarah perubatan dan pakar bedah am,” kata seorang pengguna.

Pengguna lain, pula menceritakan bagaimana abang sulungnya yang hanya berkelulusan SPM sanggup mengorbankan impian demi memastikan semua adik-beradiknya berjaya menamatkan pengajian di universiti.

“Mak kerja kilang, ayah jual ikan naik motor. Tapi hari ini, kami semua T20. Kami tak pernah lupa pengorbanan abang sulung,” katanya.

Seorang lagi pengguna, berkongsi perjalanan hidupnya yang bermula dengan usaha ibunya membiayai pendidikan sehingga tamat SPM, sebelum dia menerima biasiswa dan berpeluang melanjutkan pelajaran ke luar negara.

Menurutnya, pergaulan dengan rakan-rakan dari keluarga kaya semasa belajar juga membuka matanya tentang potensi membina kerjaya dan perniagaan.

“Bergaul dengan family T1 masa A-level buat saya sedar macam mana mereka rancang hidup. Saya belajar banyak dari situ.”

Namun begitu, ada juga suara yang menekankan kepentingan mindset dan pengurusan kewangan selain daripada semata-mata mengejar gaji tinggi.

“Ramai ingat gaji besar cukup untuk keluar dari B40. Tapi kalau tak pandai urus duit, tetap juga hidup dari paycheck ke paycheck,” kata individu lain.

Baca juga: Lelaki bergaji RM330,000 setahun letih hidup di Singapura, nak pindah Kuala Lumpur