Tak tahan stres, pelanggan ini minta makanan pedas gila-gila, siap luah masalah hidup dalam nota order

Oleh MAISARAH AISYA

Dalam dunia pesanan makanan atas talian, bukan sahaja menu yang jadi tumpuan, tapi juga nota pesanan khas daripada pelanggan.

Ada yang sekadar minta ‘lebih kuah’ atau ‘jangan letak cili’, tapi ada juga yang menyentuh hati sampai tukang masak pun terdiam, senyum, dan kadang-kadang tersentuh.

Seperti satu pesanan baru-baru ini yang tular, pelanggan ini bukan sekadar minta makanan pedas, tetapi turut meluahkan betapa dia sedang stres.

Menerusi perkongsian di Facebook Daily Makan, dua tangkap layar dikongsi, satu adalah pesanan daripada pelajar tersebut.

“Boleh tak buat pedas gila-gila? Saya tengah stres… Selipar kena rembat dengan anjing, gas rumah habis, exam susah, boyfriend (teman lelaki) buat saya macam tak wujud…

“Haih. Saya tak nak cederakan diri sendiri, jadi saya pilih untuk lepaskan semua tu dengan makan pedas.

“Terima kasih sangat kalau boleh buat pedas gila-gila. Maaf kalau menyusahkan,” tulis pelanggan di nota pesanan khas.

Lebih menarik, mesej itu dibalas pula oleh pihak kedai dengan kata-kata semangat, siap ditulis tangan khas untuk pelanggan tersebut

“Kuatkan diri! Anjing tak salah, mungkin selipar tu memang nak putus.

“Kalau part boyfriend tu, sebenarnya mungkin dia memang jantan tak guna, ada boyfriend ensem (kacak), ‘greenflag’ yang tengah tunggu.

Enjoy your nasi pedas-pedas okay. Nanti bagi rating yang okay sikit tau, biar kami pula tak stres,” tulis nota oleh pekerja kedai.

Inilah antara sisi manusiawi dalam dunia digital, kadang makanan bukan sekadar mengisi perut.

Tapi ia juga menjadi medium untuk melepaskan penat dan menerima sedikit kasih daripada insan yang tak dikenali.

Baca juga: Lelaki bergaji RM330,000 setahun letih hidup di Singapura, nak pindah Kuala Lumpur