Bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli memberi cadangan kepada kerajaan untuk menetapkan had umur tamat persekolahan pada usia 16 tahun sebagai persediaan menghadapi status negara menua.
Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan itu berpandangan bahawa penetapan sedemikian akan memberi peluang kepada golongan muda untuk menyertai dunia pekerjaan dengan lebih awal sekitar usia 21 tahun.
Jelas Rafizi, langkah ini cukup penting memandangkan Malaysia kini sedang menuju status negara menua dan memerlukan tenaga kerja muda dengan lebih awal, lapor Berita Harian.
Wakil rakyat terbabit berkata sedemikian ketika menyertai perbahasan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat, semalam berhubung aspek pendidikan untuk pembangunan masa depan negara.
“Sekolah mesti berakhir lebih awal pada umur 16 tahun kerana satu, kita negara menua. Keduanya, supaya anak-anak kita dapat mula menyertai sektor pekerjaan dengan lebih awal pada umur 21 tahun,” katanya memetik laporan Berita Harian.
Menurut Rafizi, aspek ekonomi dan projek pembangunan sudah diberi tumpuan masing-masing dalam Rancangan Malaysia sebelum ini pada 2023 dan 2024 menyebabkan kerajaan menumpukan aspek pendidikan pula kali ini.
Antara perkara yang diberi perhatian dalam RMK13 adalah berhubung isu perkhidmatan pendidikan prasekolah yang universal membabitkan kanak-kanak seawal berusia lima tahun.
“Sebenarnya ini diperlukan kerana mengambil kira ‘garbage in garbage out’ kalau kanak-kanak tidak dididik dengan baik. Terutama pada usia yang potensi perkembangan mereka baik pada umur lima ke sembilan tahun.
“Sebab apabila mereka masuk Darjah Satu dan Darjah Lima, buatlah macam mana pun. Mereka telah pun ketinggalan. Negara-negara lain menghabiskan sumber semasa pendidikan awal bukan masa universiti, Tingkatan 1 dan sebagainya.
“Sebab itu kalau tengok dalam RMK13 kita tak letak angka pun, berapa bilion dan sebagainya. Tetapi komitmen untuk menyediakan pendidikan prasekolah secara universal.” Ujarnya lagi.
Mengulas lanjut, Rafizi memaklumkan bahawa kerajaan perlu memastikan sekolah di seluruh negara mampu memberikan perkhidmatan prasekolah yang universal kepada semua dalam tempoh lima hingga sepuluh tahun.
Baca juga: Runsing duit belanja sehari RM500, posting ‘humble brag’ wanita ini dapat jawapan sinis warganet