Madani disifatkan ‘zalim’, tapi kembalikan hak sekolah agama – Anwar

Oleh MALAYSIADATELINE

Kerajaan Madani sejak 2022 mula memulihkan semula peruntukan kepada sekolah pondok dan sekolah agama rakyat, satu bentuk keadilan terhadap hak yang pernah dinafikan oleh pentadbiran terdahulu.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Kerajaan Madani komited untuk terus menambah baik keperluan sekolah pondok dan sekolah agama rakyat.

Menurut beliau, komitmen itu bagi memastikan institusi pondok tidak terus ketinggalan memandangkan jurang kemudahan dengan sekolah kebangsaan masih besar.

“Saya bertemu guru-guru pondok yang mengeluh kerana sebelum ini, pemimpin mereka sekarang iaitu kumpulan SG4 (State Government 4) telah membatalkan semua peruntukan kepada sekolah agama rakyat. Saya tidak bersetuju dengan tindakan itu

“Sebab itu pada 2022, kita kembalikan semua peruntukan tersebut kepada sekolah agama rakyat, oleh kerajaan Madani yang dituduh ‘zalim’ sedangkan mereka yang disanjung dan dipuja yang membatalkan,” katanya pada sidang Dewan Rakyat semalam.

Menerusi Facebook, menteri kewangan itu menegaskan tuduhan bahawa Kerajaan Pusat adalah zalim itu tidak benar kerana negeri milik pembangkang menerima peruntukan lebih tinggi.

“Tuduhan kononnya Kerajaan Pusat zalim tidak berasas. Hakikatnya, negeri-negeri seperti Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis menerima peruntukan lebih tinggi berbanding sewaktu ditadbir pembangkang.

“Sekolah agama rakyat yang dulu ditarik peruntukannya kini dibantu semula, tanpa memilih siapa penyokongnya.

“Peliknya, yang membatalkan peruntukan kepada sekolah agama rakyat itulah yang disanjung dan dipuja ketika ini.

“Manakala kerajaan ini yang memberikan semula peruntukan itu dituduh zalim,” kongsinya dalam hantaran di Facebook.

Baca juga: Ada ibu ‘transfer’ duit belanja anak sebulan ke akaun cikgu, suruh bagi ‘cash’ dekat anak setiap hari