Keganasan dalam sukan di Malaysia walaupun tidak banyak dilaporkan masih dikira membimbangkan apabila berlaku insiden pergaduhan, provokasi melampau, dan tindakan agresif.
Kejadian seperti perbalahan di padang bola sepak, serangan terhadap pengadil, dan perbuatan merosakkan kemudahan sukan boleh mencemarkan imej sukan negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan tiada ruang untuk sebarang bentuk keganasan atau tindakan buas (hooliganisme) dalam arena sukan.
Terutamanya bola sepak kerna bagi beliau ia jelas bertentangan dengan semangat kesukanan lapor Bernama.
Anwar menegaskan sukan sepatutnya menyatukan rakyat pelbagai latar belakang, bukan dicemari perlakuan tidak bertanggungjawab atau memecah-belahkan.
“Semua orang menyokong pasukan mereka atau negeri atau wilayah mereka, tetapi itu tidak membolehkan mereka untuk membuat huru-hara dan mengamalkan hooliganism.
“Jadi kita akan melakukan perubahan. Jangan ambil budaya samseng itu dalam sukan seperti yang anda baca dan lihat serta tonton di televisyen daripada pengalaman negara lain,” katanya seperti dipetik Bernama.
Beliau menegaskan bahawa semangat dalam sukan adalah perkara biasa yang perlu ditonjolkan.
Namun, ia tidak boleh dijadikan alasan untuk mewajarkan tingkah laku yang bertentangan dengan semangat kesukanan.
Baca juga: Gelandangan diberi nasi dengan sisa tulang ayam kongsi cerita apa yang berlaku