Seorang gelandangan yang menjadi “bahan eksperimen” tiga anak muda baru-baru ini tampil bercerita bagaimana dia didatangi kumpulan remaja itu yang memberikannya bungkusan nasi ayam bersama sisa makanan.
Kata Jalan Meldrum, Ram (bukan nama sebenar), dia agak terkilan mengapa mereka memperlakukannya sedemikian dan tertanya-tanya apa kesalahannya kepada remaja berkenaan.
Katanya, kejadian berlaku spontan di mana dia sendiri tidak tahu sedang dirakam oleh kumpulan remaja tersebut serta videonya dimuat naik di Facebook.
Walaupun dimalukan sedemikian rupa, Ram, 49, mengatakan dia tidak memarahi mereka kerana ketika kejadian, remaja lelaki itu juga memberikannya bungkusan berbeza mengandungi makanan.
“Saya tidak pasti apa kesilapan saya sehingga mereka berbuat demikian, namun saya hanya memandang positif dan menganggap mereka adik.
“Saya memaafkan perbuatan mereka dan berharap ia tidak berulang kepada gelandangan lain,” katanya memetik laporan Harian Metro.
Ram berkata, dia yang berasal dari Perak tidak bekerja dan sudah lama tinggal bergelandangan.
Dia yang fasih berbahasa Inggeris juga memaklumkan sudah didatangi pelbagai pihak yang bertanya khabar dan prihatin kepadanya.
“Saya fikir tiga remaja itu masih muda dan panjang masa depan mereka, biarlah isu ini diselesai dengan baik oleh pihak berkuasa,” katanya.
Sebelum ini tular video tiga remaja memberi makanan berisi nasi bersama sisa tulang ayam kepada gelandangan.
Selepas menerima kecaman hebat, mereka tampil memohon maaf atas tindakan mereka dan mendakwa mereka sebenarnya mendapat persetujuan daripada lelaki gelandangan itu untuk merakam video berbentuk eksperimen sosial pada Isnin lalu.
Baca juga: Polis Thailand sedar kehadiran media, urus penghantaran Eda Ezrin senyap-senyap?