Nora Danish nafi akan menikah esok, jelas perkara sebenar di sebalik kad kahwin tular

Oleh WAN SITI AMINAH

Pelakon popular, Nora Danish menyangkal khabar angin mendakwa dirinya bakal melangsungkan pernikahan dengan jejaka berkopiah putih esok seperti mana yang tular di platform media sosial baru-baru ini.

Dakwaan itu dipercayai timbul selepas penularan gambar dan video kad kahwin bersama huruf M dan N selain turut menampilkan jejaka dikaitkan dengan Nora Danish iaitu perunding kewangan dikenali sebagai Mickey Ayo.

Menerusi satu hantaran dimuat naik di Instagram Story, Nora menjelaskan bahawa foto dan video tular tersebut hanyalah sekadar kempen pemasaran produk yang tidak mempunyai kaitan dengan dirinya.

Ibu kepada dua anak itu turut memaklumkan penafian tersebut dibuat dengan rasa hormat dan kasih sayang memandangkan ramai orang tertanya-tanya mengenai perkara sebenar di sebalik khabar pernikahannya.

“Assalamualaikum semua. Ramai yang tertanya-tanya mengenai gambar terbaharu dan berita tular itu. Dengan penuh kasih sayang dan rasa hormat, ini penjelasan saya. Saya tidak akan berkahwin esok.

“Gambar dan video yang tular itu sebenarnya adalah sebahagian daripada kempen pemasaran jenama dan ia tidak mempunyai hubungan peribadi dengan saya,” kata pelakon berusia 43 tahun itu.

Dalam hantaran sama, pelakon yang mula meraih populariti menerusi lakonannya dalam drama Puteri itu turut menyampaikan penghargaan di atas keprihatinan, kasih sayang dan doa orang ramai ke atas dirinya.

Pemilik nama sebenar Nora Mohd Danish Hanif itu juga berharap kenyataan tersebut dapat menjelaskan salah faham berhubung gambar dan video tular yang sebelum ini menimbulkan perbincangan hangat di media sosial.

“Saya amat hargai semua kasih sayang, doa dan keprihatinan daripada anda semua. Terima kasih kerana sentiasa menyokong saya dengan sangat baik. Sayang anda semua.” Ujarnya.

Terdahulu, sebuah jenama sampin berkongsi beberapa hantaran yang menimbulkan tanda tanya memaparkan Mickey Ayo kelihatan seperti pengantin lelaki dengan menggayakan persalinan baju Melayu berwarna putih.

Akaun yang sama turut memuat naik hantaran gambar di Instagram Story memperlihatkan sekeping kad undangan perkahwinan bertarikh 8 September 2025 bersama pangkal huruf M dan N.

Nora sebelum ini berjaya mencuri perhatian ramai selepas memuat naik gambar sebahagian wajah lelaki bercermin mata serta berkopiah putih di akaun Instagram miliknya sebelum dihujani dengan doa dikirimkan pengikutnya.

Hal ini berikutan orang ramai membuat andaian bahawa Nora sudah menemukan pengganti selepas setahun bercerai dengan bekas suaminya iaitu Nedim Mohamad Nazri yang juga dikenali sebagai Bossned.

Sekadar info, Nora dan Nedim bercerai secara baik di atas persetujuan bersama melibatkan kedua-dua belah pihak di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, Jalan Duta pada Jun 2024.

Hasil perkongsian hidup selama tujuh tahun berumah tangga, mereka berdua dikurniakan dengan seorang cahaya mata lelaki iaitu Mohamed Neqayl yang kini berusia 7 tahun.

Nora juga pernah melangsungkan perkahwinan dengan Datuk Rizal Ashram atau lebih dikenali sebagai Jejai pada 20 Jun 2006 dan dikurniakan anak lelaki, Putra Rayqal kini berusia 16 tahun sebelum berpisah pada 2008. 

Baca juga: Roslan Shah lupa pakai ‘pampers’, terpaksa alas dengan kain ketika naik kereta Ebit Lew