SKMM menang saman fitnah terhadap penulis Murray Hunter

Oleh KIM SYAZIE

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) memenangi saman fitnah sivil terhadap penulis dari Australia, Murray Victor Hunter selepas Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini memutuskan penulis itu bertanggungjawab atas artikel fitnahnya.

Antara April hingga November 2024, Murray Hunter telah menerbitkan beberapa artikel yang mengandungi kenyataan palsu dan berunsur fitnah terhadap SKMM. 

Penerbitan tersebut membawa tuduhan serius dan tidak berasas yang mengelirukan orang awam serta menjejaskan reputasi SKMM.

Suruhanjaya itu dalam satu kenyataan hari ini berkata, keputusan mahkamah ini mengesahkan bahawa walaupun individu bebas menyuarakan pandangan, kebebasan tersebut mesti dilaksanakan secara bertanggungjawab dan mengikut batas undang-undang. 

“Hak bersuara tidak termasuk hak untuk mengeluarkan kenyataan palsu, berniat jahat atau berunsur fitnah yang menjejaskan nama baik pihak lain.

“Oleh itu, SKMM mengambil tindakan undang-undang ini bagi melindungi reputasi institusinya serta menegakkan prinsip akauntabiliti, integriti dan komunikasi yang bertanggungjawab dalam ekosistem digital,” katanya.

Baca juga: Khairul Aming sewa 3 helikopter, bawa pembeli Rendang Nyet main salji di puncak gunung