Usahawan muda, Khairul Aming memberi kejutan cukup istimewa buat pembeli terpantas produk Rendang Nyet keluarannya yang memenangi pemenang pakej percutian ke New Zealand baru-baru ini.
Menerusi satu hantaran video di platform TikTok, Khairul Aming memaklumkan bahawa para pemenang dibawa naik ke puncak gunung untuk bermain salji yang mana kejutan itu tidak diberitahu dengan lebih awal.
Pemilik nama sebenar Khairul Amin Kamarulzaman itu juga sanggup mengeluarkan belanja yang besar untuk menyewa tiga biji helikopter bagi membawa semua pemenang ke puncak gunung.
Menurut usahawan kelahiran Kelantan itu, para pemenang sememangnya tergamam kerana tidak menyangka bakal dibawa naik ke puncak gunung namun terlihat teruja ketika bermain dengan salji.
“Untuk pemenang percutian ke New Zealand, KA (Khairul Aming) berikan kejutan menaiki tiga buah helikopter dan mendarat dekat puncak gunung untuk main salji. Mereka semua tergamam tak sangka dapat kejutan ini,” katanya ruangan kapsyen.
Dalam rakaman berdurasi dua minit 24 saat dimuat naik di akaun TikTok milik usahawan terbabit, para pemenang dibawa menaiki helikopter untuk melihat permandangan di sekitar Queenstown sebelum sampai ke puncak.
Pemuda berusia 33 tahun itu juga sempat meluahkan perasaan gembira kerana dapat berkongsi rezeki dengan para pemenang selain menyifatkan perjalanan tersebut sebagai pengalaman tidak boleh dilupakan.
Terdahulu, Khairul Aming melancarkan produk ketiga keluaran terbaharunya iaitu Rendang Nyet Berapi dengan menyediakan hadiah istimewa iaitu percutian ke South Island, New Zealand untuk lima pembeli terpantas.
Para pemenang bukan sahaja boleh membawa seorang peneman malah semua kos percutian mereka termasuk penginapan, pengangkutan, makanan dan aktiviti tambahan ditanggung sepenuhnya oleh usahawan itu.
Baca juga: Puteri Balqis sangkal dakwaan hubungan terlarang, kenalkan bapa tiri dan tunang