Isteri orang ditangkap khalwat dengan lelaki bujang, tidur berpelukan depan anak-anak

Oleh WAN SITI AMINAH

Seorang wanita berstatus isteri orang ditangkap khalwat dengan lelaki bujang ketika tidur bersama di ruang tamu dalam serbuan di sebuah rumah teres dua tingkat di Segamat, Johor pada awal pagi tadi.

Mereka berdua ditahan selepas sepasukan penguat kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) menjalankan serbuan di kediaman tersebut pada sekitar jam 12 tengah malam susulan mendapat aduan awam.

Menerusi kenyataan dikongsikan di platform Facebook, JAINJ memaklumkan bahawa pagar kediaman tersebut berada dalam keadaan terbuka manakala pintu rumah tertutup namun tidak berkunci ketika serbuan dibuat.

Pemeriksaan lanjut di dalam rumah menemui wanita itu sedang tidur berpelukan dengan lelaki bujang terbabit di ruang tamu dalam keadaan gelap manakala dua kanak-kanak dipercayai anaknya juga berada di situ.

“Penguat kuasa membuka suis lampu ruang tamu dan kelihatan dua orang kanak-kanak sedang tidur nyenyak berhampiran wanita itu. Wanita dan lelaki itu dikejutkan manakala kanak-kanak terbabit dibiarkan terus tidur lena.

“Wanita terbabit berpakaian skirt labuh bersama kemeja-T. Manakala lelaki yang dipeluk itu pula hanya berselimut. Rupa-rupanya apabila bangun, dia hanya memakai seluar dalam sahaja. Lelaki itu berusia dalam lingkungan 20-an.

“Pemeriksaan mendapati dia masih bujang. Wanita itu juga berumur dalam lingkungan 20-an namun berstatus isteri orang. Dua kanak-kanak lelaki yang berusia dua dan empat tahun adalah anak wanita itu,” kata kenyataan itu.

Lebih mengejutkan, pemeriksaan penguat kuasa JAINJ di bilik-bilik tingkat atas kediaman pula menemukan ibu dan adik-beradik kepada lelaki terbabit sedang tidur lena yang mana mereka semua dipercayai tinggal serumah.

Pasangan itu kemudian ditahan atas kesalahan khalwat mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor 1997 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

“Penghuni rumah yang lain turut diminta hadir ke pejabat penguat kuasa untuk membantu siasatan. Kediaman ini adalah tempat tinggal lelaki yang dihuni bersama ibu dan adik beradiknya.

“Lelaki itu dikatakan membantu wanita terbabit yang sedang berada dalam proses penceraian dengan suaminya. Bantu punya bantu, diambil kesempatan pula untuk tidur bersama.” Ujar JAINJ.

Baca juga: Roti canai Malaysia tular di Indonesia, ramai sanggup beratur panjang