Suami orang usia 50-an ‘outstation’ di rumah urut, dicekup sebilik dengan wanita Thailand

Oleh WAN SITI AMINAH

Seorang lelaki berstatus suami orang yang ditugaskan bekerja di luar daerah ditangkap penguat kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) malam tadi kerana disyaki berkhalwat di sebuah rumah urut di Segamat.

Menurut kenyataan dikongsikan di platform Facebook, lelaki berusia dalam lingkungan 50-an terbabit ditahan oleh penguat kuasa JAINJ ketika menjalankan operasi di rumah urut berkenaan pada sekitar jam 10 malam.

Pemeriksaan di salah sebuah bilik di premis berkenaan menemukan seorang lelaki beragama Islam yang hanya berseluar pendek tanpa memakai baju bersama wanita berpakaian seksi dipercayai tukang urut.

“Setibanya di lokasi, penguat kuasa terus pergi ke bilik-bilik yang dijadikan tempat urut di tingkat satu dan dua. Kebanyakan bilik tidak bercahaya terang. Bilik tak besar dan ada langsir untuk menutupi pandangan orang luar.

“Terdapat juga tilam untuk pelanggan berbaring sambil diurut. Lelaki berkenaan statusnya sudah berkahwin dan ditugaskan untuk bekerja di Segamat beberapa hari. Dia tinggal di hotel yang disediakan oleh pihak majikan.

“Isteri dan anak tinggal di daerah lain. Wanita tukang urut berumur dalam lingkungan 20-an itu pula adalah warganegara Thailand yang memiliki passport dan bukan beragama Islam,” kongsi JAINJ dalam kenyataan itu.

Difahamkan ketika serbuan dibuat, wanita warga asing berkenaan dilaporkan mengenakan pakaian berlengan pendek yang cukup jarang dengan bahagian atas terbuka bersama skirt singkat separas peha.

Namun wanita bukan Islam itu tidak dikenakan tindakan ekoran di luar bidang kuasa JAINJ manakala lelaki terbabit ditahan mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor 1997 kerana disyaki berkhalwat.

Baca juga: Isu pakaian mencolok mata artis muslim, Menteri Agama maklum tindakan jenayah syariah boleh dikenakan