Gara-gara pertengkaran yang didakwa berpunca daripada makanan tidak enak, seorang tukang masak wanita warga Myanmar maut ditikam dalam tragedi di sebuah restoran berkonsepkan Thai di Pulau Pinang, malam semalam.
Kejadian berlaku sekitar jam 9 malam tadi di Lorong Bukit Juru, Bukit Mertajam yang mana mangsa dipercayai berusia dalam lingkungan 40-an disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pihak petugas kesihatan.
Suami mangsa yang juga merupakan warga Myanmar berusia lewat 40-an dilaporkan mengalami kecederaan pada badan manakala seorang lagi lelaki dikenal pasti sebagai rakan suspek turut cedera akibat ditikam.
Difahamkan, suspek bersama beberapa rakannya datang ke restoran itu kira-kira pada jam 8.30 malam dipercayai dalam keadaan mabuk sebelum berkongsi ketidakpuasan hatinya dengan masakan yang dihidangkan.
Tindakan itu memicu kepada pertengkaran melibatkan kumpulan lelaki berkenaan dengan tukang masak dan suaminya sebelum mangsa mengarahkan mereka semua untuk beredar daripada premis, lapor Berita Harian.
Namun salah seorang daripada mereka yang berusia 30-an dikatakan menghubungi abangnya sebelum kembali semula ke restoran dan bertindak menikam mangsa dengan menggunakan pisau sehingga maut.
Susulan kejadian, pihak polis bertindak dengan pantas dan berjaya menahan suspek bersama abangnya yang juga berusia lewat 30-an dalam penangkapan tidak jauh daripada lokasi kejadian.
Mayat tukang masak terbabit sudah dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk menjalani proses bedah siasat manakala dua lagi mangsa iaitu suaminya dan juga rakan suspek turut menerima rawatan di hospital sama.
Ketua Polis Negeri, Datuk Azizee Ismail mengesahkan kejadian ketika dihubungi pihak media dan memaklumkan bahawa kes kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Baca juga: Kayangan betul baju preloved Intan Najuwa, mampu tengok je