Pihak dewan kahwin nekad tolak tempahan, ‘bakal pengantin’ rupanya pasangan gay

Oleh WAN SITI AMINAH

Perkongsian pihak pengurusan dewan kahwin mengenai pengalaman menerima tempahan pelik daripada ‘calon pengantin’ telah berjaya mencuri perhatian orang ramai baru-baru ini.

Mana tidaknya dalam perkongsian video dimuat naik di platform TikTok itu, pihak pengurusan mengakui pernah menerima tempahan daripada pasangan ‘gay’ atau lelaki yang terlibat dengan hubungan sejenis.

Kejadian dikatakan berlaku sekitar dua tahun lalu di mana mereka didatangi oleh seorang pelanggan lelaki bertanya tentang penempahan dewan kahwin bagi meraikan hari bahagia itu bersama pasangannya.

Menurut pihak pengurusan, pelanggan terbabit mulanya kerap mengelak apabila ditanya mengenai pasangannya sebelum akhirnya berlaku jujur apabila perbincangan mereka berlanjut panjang.

“Dua tahun lepas, kami ada terima pelanggan ‘gay’ yang nak menempah dewan. Terkejut kan? Kami sendiri juga terkejut. Macam tak percaya sebab itu adalah kali pertama menerima tempahan sedemikian.

“Mula-mula itu dia tak cakap tentang pasangannya sama ada gay atau sebagainya. Jadi kami ingat dia cari dewan nak kahwin macam biasalah. Namun setiap kali ditanya mengenai pasangan, pelanggan itu kerap mengelak.

“Tetapi berikutan perbincangan kami berlanjut panjang, akhirnya dia beritahu. Kami tiba-tiba terus rasa macam tak kena. Fikir nak tolak atau sebagainya,” katanya dalam hantaran video berdurasi 55 saat itu.

@omarza89

Replying to @user2071071772310 kami pernah dapat pasangan lelaki nak book dewan 😅

♬ original sound – Abang kawin | Adam Hawa Event – Abang kawin | Adam Hawa Event

Selepas melakukan perbincangan sesama mereka, pihak pengurusan dewan membuat keputusan sebulat suara untuk menolak tempahan walaupun pelanggan terbabit menawarkan bayaran dua kali ganda.

Mereka juga bertegas tidak akan mengambil sebarang tempahan dari pasangan ‘hubungan songsang’ kerana berpegang teguh kepada prinsip untuk tidak menyokong perbuatan dilarang agama sedemikian.

Tinjauan di ruangan komen perkongsian itu mendapati rata-rata pengguna memuji tindakan pihak pengurusan dewan menolak tempahan sedemikian dan mendoakan mereka agar terus kuat iman dan murah rezeki.

Antara komen yang ditinggalkan oleh pengguna TikTok dalam perkongsian itu.

Baca juga: Kecoh kartun berunsur LGBT disiar di TV, ramai persoal tindakan stesen