Kumpulan Facebook satukan ibu dan anak kandung, bertemu lepas 43 tahun terpisah

Oleh WAN SITI AMINAH

Siapa sangka, perkongsian di kumpulan Facebook dalam usaha untuk menjejaki ahli keluarga dapat menyatukan semula ibu dan anak kandung yang terpisah selama 43 tahun.

Itulah pengalaman sebenar dialami oleh seorang wanita dikenali sebagai Eida yang berjaya mempertemukan ibu dan abang kandungnya selepas memuat naik hantaran tentang pencarian ahli keluarga di kumpulan Facebook.

Difahamkan, ibu kepada Eida sempat bertemu dengan anak sulungnya buat kali terakhir sewaktu lelaki terbabit berusia enam tahun sebelum situasi yang tidak didedahkan memisahkan mereka selama berpuluh tahun.

Namun keluarganya tidak pernah menyerah dalam usaha untuk menjejaki abang kandungnya yang kini berusia 48 tahun walaupun setiap ikhtiar dilakukan untuk mencari keberadaan lelaki itu berakhir dengan kekecewaan.

Selepas menempuh perjalanan panjang, usaha mereka akhirnya mambuahkan hasil apabila perkongsian Eida dalam satu kumpulan Facebook membawa kepada penemuan abangnya dengan bantuan orang ramai.

“Alhamdulillah, setelah 43 tahun berpisah dengan abang sulung saya, kini mak sudah berjumpa kembali dengan anaknya. Kali terakhir mak saya berjumpa dengan abang adalah ketika umurnya enam tahun.

“Sudah bermacam-macam cara kami buat untuk mencari abang saya. Tetapi hampa. Nak dipendekkan cerita, saya pernah memuat naik hantaran dalam kumpulan ini, Jejak Kenalan Lama (JKL).

“Alhamdulillah, dipermudahkan semua urusan kami untuk (menemukan abang),” katanya dalam perkongsian di platform Facebook melalui laman kumpulan tersebut bersama gambar pertemuan ibu dan abang kandungnya.

Sehubungan dengan itu, Eida dalam perkongsian sama turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada orang ramai yang telah membantu dan memberikan kerjasama dalam pencarian abang kandungnya.

Mereka juga mengambil peluang untuk mengirimkan doa agar urusan orang ramai yang sedang menjejaki ahli keluarga atau kenalan lama mereka dipermudahkan dan dipertemukan dengan izin Allah SWT.

“Tiada kata lagi yang saya dapat ungkapkan selain ucapan terima kasih kepada semua yang bantu dan memberikan kerjasama serta yang mendoakan untuk kami. Dekat sini saya kongsikan detik manis mak dan abang saya.” Ujarnya.

Baca juga: Shuib akhirnya buka mulut tentang keadaan isteri, rupa-rupanya ada berita gembira