Disengat obor-obor? Hentikan mitos air kencing, ini langkah yang betul..

Oleh MALAYSIADATELINE

Sengatan obor-obor sering berlaku terutama di kawasan pantai yang menjadi tumpuan pelancong, namun persoalan yang kerap timbul ialah sejauh mana bahaya sengatan tersebut.

Secara umumnya, kebanyakan sengatan obor-obor tidak membawa maut, tetapi risiko kematian tetap wujud sekiranya ia melibatkan spesies berbahaya seperti box jellyfish, yang mampu melepaskan toksin kuat hanya dalam beberapa saat.

Dalam kebanyakan kes, gejala sengatan akan memuncak dalam tempoh lima minit pertama sebelum beransur reda dan biasanya pulih sepenuhnya dalam masa kurang 24 jam.

Ikuti perkongsian Public Health Malaysia mengenai tindakan awal yang tepat, ini sangat penting bagi mengelakkan komplikasi teruk.

Langkah pertolongan cemas jika disengat obor-obor

Pakar kesihatan mengesyorkan beberapa langkah segera untuk mengurangkan kesakitan dan menghalang racun daripada terus merebak:

  1. Keluar dari air dengan serta-merta

Ini penting untuk mengelakkan serangan susulan atau lemas akibat kesakitan.

  1. Bilas kawasan sengatan dengan cuka

Siraman cuka selama sekurang-kurangnya 30 saat dapat menyahtoksik tentakel dan mengurangkan pelepasan racun.

  1. Keluarkan tentakel yang masih melekat

Gunakan penyepit (tweezer) dan tarik perlahan-lahan. Elakkan menarik dengan jari kerana racun masih boleh aktif.

  1. Elakkan geseran pada kulit

Menggosok kulit dengan tuala atau tangan akan merangsang sel penyengat (nematocysts) melepaskan lebih banyak racun.

Menurut kajian di rantau Indo-Pasifik, kaedah ini efektif untuk kebanyakan spesies, namun keberkesanannya mungkin berbeza mengikut jenis obor-obor di kawasan tertentu.

Mitos rawatan sengatan obor-obor masih berleluasa

Walaupun sudah banyak penjelasan diberikan oleh pakar, pelbagai petua tidak tepat masih diamalkan hingga hari ini. Antara rawatan yang tidak digalakkan ialah:

  • Menyapu air kencing
  • Membalut kawasan sengatan dengan ketat
  • Meletakkan baking soda
  • Menyapu alkohol atau minuman bergas
  • Menggosok kulit dengan tuala
  • Menggunakan limau atau bahan berasid lain
  • Air najis atau bahan iritasi

Tindakan ini bukan sahaja tidak membantu, malah boleh mencetuskan pelepasan racun lebih banyak dan menyebabkan kesakitan bertambah teruk.

Mangsa perlu dibawa segera ke hospital jika mengalami tanda alahan teruk, disengat box jellyfish (obor-obor berbentuk kubus yang sangat toksik) dan kawasan sengatan sangat luas, contohnya meliputi sebagian besar lengan atau kaki

Rawatan profesional penting bagi memastikan mangsa tidak mengalami komplikasi seperti sesak nafas, gangguan jantung atau kejutan toksik.

Baca juga: