Dua lelaki yang tular kerana disyaki melakukan perbuatan tidak senonoh di dalam kenderaan di kawasan Batu Kikir, Jempol, Negeri Sembilan rupanya baru sahaja berkenalan menerusi satu aplikasi media sosial.
Tempoh perkenalan itu dilaporkan berjalan kira-kira hanya dua minggu sebelum mereka berdua memutuskan untuk berjumpa buat kali pertama dan terakam melakukan perbuatan tidak senonoh pada hari kejadian.
Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Norhisham Mustapar memaklumkan bahawa siasatan mendapati kejadian itu berlaku sekitar jam 5 petang berhampiran sebuah dewan di Batu Kikir pada 17 November lalu.
Dua lelaki dalam video tersebut juga berjaya dikesan oleh pihak polis dengan penangkapan pemandu kereta Alza yang merupakan seorang penjawat awam berusia 36 tahun, lapor Kosmo.
“Kita telah berjaya mengesan dua individu di dalam kereta jenis Perodua Alza tersebut. Pemandu berusia 36 tahun merupakan penjawat awam telah ditangkap pada malam tadi (kelmarin) di daerah ini.
“Hasil siasatan lanjut membawa kepada satu lagi tangkapan ke atas seorang pelajar lelaki institusi pengajian tinggi (IPT) berusia 20 tahun yang kita tangkap di sekitar Kuala Pilah pagi tadi (semalam).
“Kedua-duanya telah diambil keterangan dan dibebaskan dengan jaminan polis,” katanya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jempol ketika ditemui oleh pihak media semalam memetik laporan Kosmo.
Jelasnya, siasatan lanjut juga mendapati mereka baharu sahaja berkenalan dalam satu aplikasi media sosial kira-kira dua minggu dan berjumpa buat kali pertama dalam lebih kurang sejam sebelum video tular itu dirakam.
Rakaman kejadian itu telah ditularkan oleh pemandu lori berusia 39 tahun susulan memakir kenderaannya di lokasi tersebut yang kini turut disiasat mengikut seksyen 500 Kanun Keseksaan.
“Siasatan telah selesai dan kes disiasat di bawah Seksyen 377D Kanun Keseksaan kerana melanggar kesopanan. Manakala pemandu lori itu pula disiasat di Seremban di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan.” Ujarnya.
Baca juga: Remaja trauma teruk sejak kecil sampai dewasa saksikan hubungan intim ibu bapa