Banjir di Hatyai ketika ini menyebabkan ramai rakyat Malaysia yang sedang bercuti di negara gajah putih itu terkandas.
Ada yang terperangkap di inap desa dan tidak kurang juga hotel-hotel sekitar daerah tersebut sehingga memaksa pihak hotel membawa keluar semua mangsa dari bangunan.
Namun di sebalik semua kekecohan itu, tersingkap kisah mengecewakan apabila seorang suami berlaku curang tanpa pengetahuan isteri, dan sedang bercuti dengan perempuan lain di wilayah yang dilanda banjir itu.
Menurut perkongsian seorang pengguna Threads, seorang isteri telah menghubunginya supaya membantu menyelamatkan suaminya dari terkandas akibat banjir.
Pengguna itu yang mempunyai saudara-mara di Hatyai telah menyampaikan pesanan tersebut. Hasil bantuan saudaranya di sana, lain pula khabar yang diterima pengguna tersebut.
Rupa-rupanya si suami bukan bercuti bersama rakan-rakan seperti yang didakwa, tetapi sedang bercuti dengan seorang wanita lain.
Difahamkan, mereka juga telah empat hari mendaftar masuk ke hotel yang sama sebelum banjir melanda.
“Ada seorang isteri mesej personal saya minta bantuan suaminya terperangkap di Hatyai dengan rakan sekerja. Dan kalau boleh tolong selamatkan suami dia dulu sebab anak-anak mereka masih kecil dan tercari-cari bapa mereka.
“Saya memang ada sepupu dan makcik tinggal di Hatyai sebab kampung ibu memang di sana. Bila ‘check’ rupanya rakan sekerja tu adalah perempuan dan jadi rakan sebilik dah sepanjang empat hari di Hatyai.
“Wahai kaum lelaki, kesiankanlah anak bini di rumah. Kalau rasa tak malu pada manusia, malu pada Allah,” kongsi pengguna Threads terbabit.
Lebih memilukan, si isteri sedang berpantang selepas melahirkan anak keempat mereka dan pengguna akaun Thread itu tidak tahu bagaimana untuk memaklumkan info yang diterimanya itu.
Baca juga: Suami beria tukar nama anak, akhirnya kantoi lepas isteri jumpa kotak penuh surat cinta