Penyanyi, Amira Othman akhirnya menjawab spekulasi yang sedang hangat diperkatakan bahawa dirinya kini sedang hamil cahaya mata pertama bersama suaminya iaitu pelakon, Fattah Amin.
Spekulasi dipercayai timbul selepas penyanyi itu ditahan di hospital baru-baru ini sehingga tidak dibenarkan untuk terbang ke Korea Selatan untuk menjalani penggambaran bersama suaminya.
Ketika ditanya mengenai spekulasi tersebut, Amira atau nama sebenarnya Nadia Amira Othman memilih untuk tidak mengulas panjang sebaliknya hanya memohon doa yang baik-baik daripada orang ramai.
Selebriti berusia 32 tahun itu juga tampil mendedahkan punca sebenar dirinya dirawat sehingga tiga doktor pakar menasihatinya untuk tidak menaiki pesawat ke negara yang sedang bercuaca sejuk tersebut, lapor Gempak.
“Saya mohon doakan yang baik-baik. Kalau ada rezeki, ada berita baik, sesuai pada waktunya saya akan kongsikan. Tetapi saya masuk ke hospital memang sebab bronkitis. Waktu itu saya sukar untuk bernafas.
“Kebetulan waktu itu saya ada jadual penggambaran di Korea. Jadi saya ke hospital untuk mendapatkan rawatan. Tetapi disebabkan keadaan tidak mengizinkan, doktor pun nasihatkan saya untuk tidak pergi.
“Perkara yang lain-lain, spekulasi itu biasalahkan. Saya ini dari zaman anak dara pun ada macam-macam spekulasi. Namun saya harap doa yang baik-baik daripada kalian,” katanya memetik laporan Gempak.
Pelantun suara lagu Suara & Takdir itu turut meluahkan rasa syukurnya apabila keadaan kesihatannya kini sudah semakin beransur pulih selepas menerima rawatan di sebuah pusat perubatan.
Walau bagaimanapun, Amira yang sudah dua kali ditahan di hospital akibat mengalami masalah kesihatan sama itu mengakui belum pulih sepenuhnya selain menyifatkan dirinya memang mudah jatuh sakit.
Dalam pada itu, penyanyi terbabit juga memaklumkan bahawa dirinya tidak mengambil hati tentang persoalan mengenai anak dan menganggapnya sebagai perkara biasa untuk pasangan yang baru sahaja berkahwin.
“Alhamdulillah, sekarang sudah beransur sihat tetapi ada lagi yang belum pulih sepenuhnya. Ikutkan ini kali kedua saya kena bronkitis. Saya sedikit sensitiflah. Lagi pula, kita tak tahu keadaan sekeliling macam mana.
“Kita pun keluar hari-hari. Benda nak jadi. Alhamdulillah, sekarang sudah beransur pulih. Cuma batuk sahajalah yang lambat sedikit nak baik. Benda baik kita aminkan. Apabila belum kahwin, orang tanya bila nak kahwin.
“Sudah kahwin, tanya bila nak ada anak. Sudah ada anak pertama, tanya bila nak anak kedua. Saya rasa itu lumrah. Tidak ada apa yang saya harus ambil hati atau kecil hati. Mudah-mudahan doa itu Allah kalbulkan.” Ujarnya.
Baca juga: Dalam diam Malaysia dah capai banyak rekod membanggakan