Hujan berterusan, angin kencang – MET Malaysia keluarkan amaran terkini

Oleh MAISARAH AISYA

Keadaan cuaca yang semakin tidak menentu sejak beberapa hari kebelakangan ini menimbulkan kebimbangan, khususnya di negeri-negeri yang berada dalam zon berwaspada.

Orang ramai dinasihatkan supaya lebih berhati-hati dan mengambil langkah persediaan awal, terutama mereka yang tinggal di kawasan berisiko.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) hari ini mengemas kini beberapa amaran cuaca melibatkan Ribut Tropika, Hujan Berterusan serta Angin Kencang dan Laut Bergelora yang melibatkan sejumlah negeri di Semenanjung.

Menurut kenyataan media yang dikeluarkan, amaran tersebut melibatkan negeri Kedah, Pulau Pinang, Perak, Pahang, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor, dan berkuat kuasa dari 27 hingga 29 November 2025.

MET Malaysia memaklumkan bahawa perkembangan sistem ribut tropika itu masih dipantau rapi, dan segala maklumat serta amaran akan dikemas kini dari semasa ke semasa mengikut keadaan cuaca terkini.

Amaran hujan berterusan juga dikeluarkan pagi tadi yang melibatkan beberapa negeri di Semenanjung Malaysia sehingga Sabtu, 29 November 2025.

Dalam kenyataannya, MET Malaysia memaklumkan bahawa hujan lebat berterusan berada pada tahap Amaran Buruk di negeri Kedah (melibatkan daerah Kulim dan Bandar Baharu), Pulau Pinang, Perak, Terengganu, Pahang (Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Raub dan Bentong), Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Wilayah Persekutuan Putrajaya.

Sementara itu, beberapa kawasan lain berada di bawah Amaran Waspada, termasuk Kelantan, Pahang (Jerantut, Temerloh, Maran, Kuantan, Bera, Pekan dan Rompin), Negeri Sembilan, Melaka serta dua daerah di Johor iaitu Tangkak dan Segamat.

MET Malaysia menasihatkan orang ramai agar berwaspada, memantau perkembangan cuaca dari semasa ke semasa.

Orang ramai turut dinasihatkan agar sentiasa berhati-hati dan mengikuti maklumat cuaca melalui saluran rasmi termasuk laman web MET Malaysia, aplikasi myCuaca, media sosial jabatan tersebut, atau talian hotline 1-300-22-1638.