Lebih 6,000 rakyat Malaysia yang terperangkap akibat bencana banjir di Thailand telah selamat tiba ke tanah air sejak operasi menyelamat digerakkan pada Ahad lalu.
Misi ini sebahagian besarnya disumbangkan oleh hampir 20 badan sukarelawan Malaysia yang digerakkan dengan kerjasama Wisma Putra, termasuk 13 pasukan bomba sukarela, selain bantuan Kerajaan Thailand.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu kenyataan malam ini menyataka rasa terharu melihat keberanian dan kegigihan pasukan sukarelawan Malaysia yang sanggup meredah banjir dan berdepan risiko demi menyelamatkan sesama rakyat Malaysia.
Beliau merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan salut buat wira-wira negara.
“Penghargaan juga saya rakamkan kepada Kementerian Luar Negeri, Kedutaan Besar Malaysia di Thailand, Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla, pihak berkuasa Thailand, pasukan penyelamat tempatan serta pihak pengurusan UUM atas segala bantuan dan koordinasi dalam menguruskan 36 pelajar serta dua pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM) yang turut terkandas di Hatyai.
“Penat lelah dan komitmen semua pihak dalam memastikan keselamatan mereka mencerminkan keprihatinan, kepedulian dan semangat kebersamaan yang begitu tinggi tanpa mengira agama, kaum atau latar belakang,” katanya.
Perdana Menteri memohon semua pihak untuk terus titipkan doa agar setiap langkah para sukarelawan dipermudah dalam meneruskan misi membawa pulang rakyat Malaysia yang masih terperangkap di Thailand.
Kata beliau, kerajaan melalui Wisma Putra akan terus memantau rapat situasi ini dan menghulurkan bantuan secepat mungkin.