Fadli Salleh dedah kes guru didakwa ‘grooming’ murid 15 tahun, kongsi bukti perbualan

Oleh WAN SITI AMINAH

Aktivis sosial terkenal, Mohd Fadli Salleh yang juga bekas warga pendidik kembali mencuri perhatian ramai apabila mendedahkan perbuatan jijik didakwa dilakukan seorang guru lelaki terhadap murid perempuan bawah umur.

Perbuatan didakwa dilakukan dengan menghantar mesej melalui aplikasi Whatsapp yang pada mulanya kelihatan seperti sekadar bertanya khabar dan menunjukkan sikap mengambil berat daripada guru terhadap pelajarnya.

Lama-kelamaan, guru itu mula menggunakan panggilan manja terhadap pelajar berusia 15 tahun terbabit sebelum menghantar pesanan mencurigakan sehingga menjurus kepada perbuatan ‘grooming’ atau pengantunan seksual.

Perkara itu didedahkan Fadli Salleh menerusi perkongsian dimuat naik di akaun Facebook miliknya bersama bukti berupa tangkap layar memaparkan perbualan di aplikasi sembang antara guru terbabit bersama anak muridnya.

“Inilah dia yang dipanggil grooming. Awal-awal dia cakap elok-elok, tanya khabar dan tunjuk ambil berat. Apabila nampak budak sudah mula melayan, mula masuk jarum perlahan-lahan. Suruh panggil dengan gelaran abang.

“Selepas itu mulalah gurau ‘soft porn’ dahulu. Masuk bab muah, peluk, cium dan sebagainya. Kemudian ajak jumpa. Awalnya jumpa dalam bilik dekat sekolah. Sudah banyak berlaku kes rogol dalam sekolah.

“Mungkin nanti ajak masuk ke bilik hotel atau ke rumah. Budak kena groom, memang cepat cair. Remaja pula itu. Apalagi dengan cikgu sendiri, orang yang sepatutnya beri rasa selamat bagaikan ayah melindungi anak,” kesalnya.

Fadli Salleh bagaimanapun meluahkan rasa lega kerana pelajar itu sedar dengan cepat dan kejadian juga sudah dilaporkan kepada pihak polis serta secara atas talian melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA).

Aktivis terbabit juga menegaskan bahawa kesalahan tidak sepatutnya diletakkan sepenuhnya ke atas pelajar kerana faktor usia menjadikan mereka mudah diperdaya apalagi pelaku adalah orang dewasa yang memiliki autoriti sebagai pendidik.

Antara tangkap layar lain memaparkan mesej dihantar oleh pelaku.

“Kes berlaku di Alor Star, Kedah. Dengar kata, cikgu itu sudah ditukarkan ke sekolah lain. Harap betul-betul insaf. Jangan jadikan pelajar sekolah lain sebagai mangsa pula. Ada satu lagi kes amang seksual melibatkan guru.

“Suka cakap lucah di dalam kelas dan sebagainya. Kes ini lagi naya. Pelajar sudah lapor kepada pengetua, namun aduan diambil remeh. Pelajar mengadu dekat guru lain. Guru cakna ini terus lapor ke Pejabat Pendidikan Daerah (PPD).

“Malangnya pengetua marah pula kerana guru cakna dikatakan melangkaui kuasa dia. Hasilnya, guru cakna ini ditukarkan sekolah. Guru lucah juga ditukarkan. Tetapi kasihan guru cakna, dia hanya melindungi murid-murid.” Ujarnya yang mendedahkan dua kes dalam hantaran itu.

Baca juga: Penumpang tulis nota gurauan ada ‘bom’, satu pesawat disuruh turun