Ibu meninggal dunia, Adam Corrie tangguh semua urusan untuk uruskan mendiang

Oleh MAISARAH AISYA

Pelakon Adam Corrie Lee Abdullah berkongsi berita duka apabila memaklumkan bahawa ibunya telah meninggal dunia menerusi satu kenyataan yang dimuat naik di media sosialnya.

Dalam masa sama, Adam memaklumkan bahawa dia terpaksa menangguhkan semua urusan buat sementara waktu bagi memberi sepenuh tumpuan kepada pengurusan jenazah mendiang ibunya.

Menerusi hantaran di Instagram, pelakon itu turut berkongsi gambar dirinya bersama mendiang ibu tercinta, sekali gus mengundang rasa hiba dalam kalangan pengikutnya.

“Dengan hati yang berat, saya Adam Corrie memaklumkan bahawa ibu tercinta saya telah pergi buat selama-lamanya.

“Buat sementara waktu ini, segala urusan terpaksa saya tangguhkan bagi memberi ruang sepenuhnya kepada urusan pemergian mendiang ibu saya,” kongsinya di Instagram.

Dalam kenyataan sama, Adam turut memohon maaf atas sebarang kesulitan yang timbul sepanjang tempoh tersebut dan mengucapkan terima kasih kepada semua pihak.

“Saya mohon ampun dan maaf atas segala kesulitan yang berlaku. Terima kasih atas segala doa dan sokongan semua,” tambahnya.

Bagaimanapun Adam tidak memaklumkan punca kematian ibunya dan ruangan komen miliknya kini dibanjiri oleh ucapan takziah oleh rakan selebriti dan para peminat.

Baca juga: Suami maki, gelar isteri perompak sebab ambil duit minyak dan makan RM50 tanpa izin