Isteri rasa nak pecah dada, pembantu rumah buka cerita pernah terlanjur dengan suami

Oleh WAN SITI AMINAH

Perkongsian seorang isteri mengenai pengakuan dibuat oleh pembantu rumahnya berhubung kecurangan suami telah mengundang perbincangan hangat di media sosial baru-baru ini.

Mana tidaknya, suami kepada wanita terbabit dikatakan telah menjalinkan hubungan intim dengan pembantu rumah berkenaan di kediaman mereka sendiri tanpa pengetahuan isterinya.

Segalanya bermula dengan pengakuan dibuat pembantu rumah itu yang mendakwa dirinya dipaksa menjalinkan hubungan dengan suami majikannya melibatkan enam kejadian dalam masa setahun.

“Pada suatu malam, orang gaji aku yang berusia 22 tahun datang bercerita. Katanya suami aku sudah buat maksiat ringan lima kali dan berzina satu kali dengan dia. Enam kejadian dalam masa setahun. Dia kata dipaksa.

“Masa dia cerita, rasa nak pecah dada. Sebab suami aku ini seorang ayah dan suami yang sangat baik. Kewangan keluarga semua aku yang pegang sebab kami berniaga bersama. Setiap minggu, dia suka masak untuk aku.

“Selalu tunaikan apa yang aku mahukan. Dada rasa terlalu padat, ya Allah. Hati aku hancur. Sebab ini tahun kesembilan kami berkahwin dan ada tiga orang anak. Aku menangis macam tiada hari esok,” kesalnya.

Isteri terbabit mengakui agar sukar menerima kenyataan kerana suami yang dikenalinya sejak dari zaman kolej itu memiliki ‘rekod’ bersih ekoran tidak pernah berhubung dengan perempuan lain sepanjang perkenalan mereka.

Dunia bagaimanapun terasa gelap ketika suami wanita itu sendiri mengakui berhubungan intim dengan pembantu rumah mereka kerana ajakannya untuk bersama sebelum ini selalu ditolak isterinya.

“Bayangkan, ini tahun ke-15 kami bersama dari zaman kolej. Ini kali pertama kes berkaitan perempuan. Tiba-tiba terus jadi teruk sampai macam ini. Dunia terasa gelap, kaki rasa tidak berpijak tanah. Sedih yang teramat sangat.

“Aku sedar ada juga silap sendiri. Sebab aku ada penyakit hormon. Apabila makan ubat, nafsu aku memang turun. Salah aku. Tidak melayani kehendak batin suami. Tetapi aku sedih, rasa dikhianati di rumah sendiri.

“Suami melutut, menangis dan merayu. Kejadian sudah hampir sebulan berlalu. Pembantu sudah dihantar balik ke Indonesia. Setiap hari suami tanpa jemu memujuk sebab aku menangis sangat teruk,” kongsinya.

Difahamkan, perkongsian itu dibuat oleh sang isteri yang masih merasa trauma di platform Threads kerana mahu meminta pendapat orang ramai berhubung cara untuk menyelesaikan masalah rumah tangganya.

Hal ini berikutan suaminya sudah berjanji akan berubah dan berusaha keras mendekatkan dirinya dengan Tuhan namun kepercayaan wanita itu terhadap pasangannya kian pudar selain tidak dapat melupakan apa yang telah terjadi.

Dalam perkongsian sama, wanita terbabit turut memberi penjelasan lanjut mengenai tingkah laku mencurigakan pembantu rumahnya yang mungkin menjadi salah satu faktor penyumbang sehingga kecurangan berlaku.

Baca juga: Penghadang dialih sebelum tragedi SUV, pihak berkuasa gesa orang awam kongsi maklumat