Pernah menghilang selama enam bulan, namun sepanjang tempoh itu tidak seorang pun anggota Senario membuka mulut mengenai keadaan Yassin Yahya.
Pelawak berusia 47 tahun itu memaklumkan dia kenal hati budi ahli Senario yang akan melindunginya ibarat adik bongsu dalam kumpulan tersebut sebaik mungkin lapor Kosmo! Online.
“Sudah 25 tahun saya bersama Senario. Saya sudah kenal perangai masing-masing.
“Walaupun mereka kelihatan gila-gila macam mana sekalipun saya tak risau kerana mereka akan cuba sedaya upaya tidak bercakap tentang saya kepada umum.
“Mereka lebih suka saya sendiri yang berdepan dan jelaskan apa yang berlaku kepada saya. Selagi mereka boleh tutup mereka akan tutup,” katanya seperti dipetik Kosmo! Online.
Jelasnya, kejadian berlaku di luar negara itu bukanlah satu titik hitam sebaliknya dia menganggap ia satu musibah dan ujian yang perlu dijadikan pengajaran.
“Apa yang berlaku adalah satu musibah yang perlu saya syukuri. Setiap orang ada perjalanan hidup masing-masing. Saya tak tahu mungkin akan datang Allah akan uji lebih hebat.
“Paling penting dalam hidup ini saya akan terus belajar. Kesilapan itu memang akan sentiasa berlaku di mana-mana,” jelasnya.
Dalam masa sama Yassin mengakui dia tidak trauma untuk kembali ke Tanah Suci untuk mengerjakan ibadah umrah, malah tiada larangan untuknya kembali.
Sebelum ini media melaporkan pelawak Yassin Yahya sebenarnya telah ditahan pihak imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdulaziz, Jeddah ketika transit menuju ke Madinah.
Kejadian yang berlaku pada Oktober 2024 menyebabkan tanda tanya kepada peminat apabila Yassin dilihat tidak muncul dalam acara bersama kumpulan pelawak Senario.
Baca juga: Kecoh wujud kiub pati babi, gambar tular sebenarnya dari pasar raya Filipina