Muhyiddin sangkal dakwaan Tun Dr Mahathir, nafi curi wang parti dan simpan di rumah

Oleh MALAYSIADATELINE

Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin menafikan sekeras-kerasnya dakwaan dilemparkan Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam rakaman tular bahawa beliau mencuri dan menyimpan wang parti di rumahnya.

Menerusi kenyataan dikongsikan di platform Facebook, Muhyiddin yang juga Bekas Perdana Menteri kelapan itu turut menyifatkan dakwaan tersebut sebagai tuduhan liar berbentuk sangkaan serta tidak berasas sama sekali.

Pengerusi Perikatan Nasional itu berpendapat bahawa tuduhan sedemikian kemungkinan berpunca daripada maklumat tidak benar yang disampaikan kepada Tun Dr Mahathir oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Muhyiddin bagaimanapun meluahkan rasa kesal apabila negarawan terbabit tidak mendapatkan penjelasan terus daripadanya terlebih dahulu dalam banyak pertemuan yang dilakukan mereka sebelum ini.

“Saya tidak pernah mencuri wang parti. Semua sumbangan kepada parti dimasukkan ke dalam akaun parti yang diurus secara telus oleh Bendahari Agung.

“Sebagai seorang negarawan, beliau sepatutnya mendapatkan penjelasan daripada saya terlebih dahulu sebelum membuat sebarang tuduhan terhadap saya. Dalam banyak pertemuan saya dengannya, beliau tidak pernah membangkitkan perkara ini secara berhadapan.

“Maka adalah menjadi tanggungjawab saya untuk menjelaskan perkara ini supaya tidak menimbulkan fitnah ke atas diri saya,” katanya dalam kenyataan bagi mengulas penularan rakaman memaparkan Mahathir kononnya mendakwa Muhyiddin mencuri wang parti.

Namun Ahli Parlimen Pagoh itu tidak merancang untuk mengheret Mahathir ke muka pengadilan kerana masih menghormatinya sebagai orang tua malah mereka juga memiliki hubungan yang cukup akrab.

Malah Muhyiddin juga tetap menyatakan sokongannya terhadap Perdana Menteri Malaysia keempat dan ketujuh itu dalam usaha-usaha beliau untuk mewujudkan perpaduan antara orang Melayu.

Terdahulu, tular satu rakaman memaparkan pertemuan Permuda Bersatu (Armada) Johor bersama Mahathir di pejabat pemimpin itu di Yayasan Kepimpinan Perdana dipercayai diadakan pada 10 Disember lalu.

Mahathir dalam video itu konon mendakwa Muhyiddin berhasrat menjadi Perdana Menteri bukan kerana mahu berkhidmat kepada negara sebaliknya untuk menyelamatkan diri dan keluarga dari tindakan undang-undang.

“Dia nak jadi Perdana Menteri bukan kerana mahu berkhidmat. Pasal kalau dia tak jadi Perdana Menteri, ada kemungkinan dia masuk ke dalam (penjara). Sebab dia pun curi duit, saya tahu. Duit dibagikan kepada parti, dia simpan di rumah.

“Duit itulah dia belanja. Belanja banyak sampai saya kalah di Langkawi, pasal inilah orang-orang dia yang menang.” Ujar Mahathir yang kalah teruk di Parlimen Langkawi dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) kepada Calon Perikatan Nasional, Datuk Suhaimi Abdullah.

Armada Johor sebelum ini telah mengeluarkan kenyataan mendakwa video tersebut dirakam tanpa mendapatkan kebenaran sebelum disunting dan dimanipulasi dengan membawa naratif palsu bagi menjejaskan reputasi Muhyiddin.

Baca juga: Kognitif belum matang, kanak-kanak bawah 16 tahun mudah terjebak manipulasi siber, kes ‘grooming’