Tular sebelum ini mengenai dakwaan seorang wanita ‘memadukan’ suami sendiri selepas bernikah kali kedua di Songkhla, Thailand, pada November tahun lalu.
Siasatan mendapati wanita tersebut sudah sah bercerai dengan suami pertama pada Jun 2022 lapor Berita Harian.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta negeri, Mohd Asri Mat Daud berkata, maklumat tersebut diperoleh hasil siasatan yang dijalankan pihak berkuasa agama.
Menurutnya, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK) telah mengambil keterangan daripada seorang wanita berusia 30 tahun serta bekas suami pertamanya yang berusia 46 tahun.
“Hasil soal siasat oleh JAHEAIK yang dilakukan semalam mendapati mereka sudah bercerai pada Jun 2022.
“Bekas suami pertama mengaku menceraikan isterinya dengan talak satu. Jadi, tidak benar wanita itu mempunyai dua suami,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Hal tersebut tular selepas wanita bernama Ekin nekad membuat hantaran di Facebook mengenai kakak ipar yang dikatakan memadukan abangnya.
Baca juga: Isteri didakwa madukan pasangan, ulang-alik rumah 2 suami sejauh 19km setiap hari