Logo Buletin TV3 disalahguna dalam hantaran palsu, SKMM jalankan siasatan

Oleh MAISARAH AISYA

Tular di media sosial penyebaran gambar yang mendakwa kononnya platform TikTok Malaysia akan ditutup kerana dikatakan merugikan negara.

Kenyataan tersebut juga seolah-olah dibuat oleh Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, sekali gus mencetuskan kekeliruan dan kebimbangan dalam kalangan pengguna.

Disebabkan itu Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) membuka satu kertas siasatan berhubung penularan hantaran palsu di media sosial yang menggunakan logo dan identiti visual Buletin TV3 lapor Bernama.

Dalam kenyataan dikeluarkan, SKMM memaklumkan siasatan awal mendapati kandungan berkenaan sudah diubah suai dah disahkan palsu.

Tegas SKMM, kenyataan tersebut juga tidak pernah dikeluarkan oleh Menteri Komunikasi.

Media Prima Bhd turut membuat laporan polis dan menafikan hantaran berkenaan diterbitkan oleh buletin TV3 atau mana-mana platform di bawah rangkaian syarikat tersebut.

Dalam padaitu, SKMM turut menjelaskan penggunaan logo, nama serta identiti visual Buletin TV3 berkenaan adalah satu bentuk penyalahgunaan yang boleh mengelirukan orang ramai.

“Sehubungan itu, satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).

“Seorang individu yang disyaki terbabit sudah dipanggil untuk membantu siasatan dan keterangannya dirakam oleh MCMC di Ibu Pejabat Polis Daerah Kerian, Perak,” menurut SKMM.

SKMM juga menyita satu unit telefon bimbit dan satu kad SIM bagi tujuan analisis forensik digital.

Orang ramai diingatkan supaya sentiasa menyemak kesahihan maklumat sebelum memuat naik, berkongsi atau mengulas di media sosial.

Ini kerana penyebaran kandungan palsu serta penyalahgunaan identiti boleh membawa kepada tindakan undang-undang.

Baca juga: Ahmad Fadhli yakin pemimpin Pas mampu terajui PN, calon tak semestinya Hadi Awang?