Laluan Cameron Highlands-Gua Musang boleh dilalui semula, caj RM5 sehala

Oleh MALAYSIADATELINE

Laluan Cameron Highlands ke Gua Musang yang terjejas akibat kejadian tanah runtuh kini sudah boleh dilalui semula oleh pengguna jalan raya menerusi satu laluan sementara yang dibina oleh pihak syarikat perladangan.

Menurut maklumat terkini yang dikongsikan seorang pengguna TikTok @nashtemiar2025, pengguna jalan raya akan dikenakan bayaran sebanyak RM5 bagi perjalanan sehala.

Manakala RM10 bagi perjalanan pergi dan balik bagi menggunakan laluan berkenaan.

“Untuk makluman semua pengguna laluan Cameron Highlands ke Gua Musang, kita dikenakan bayaran RM5 untuk sehala.

“Jika pergi dan balik, perlu sediakan RM10. Saya sendiri tidak pasti sebabnya laluan ini dibina oleh pihak syarikat perladangan,” katanya.

Dia turut memaklumkan bahawa pembukaan laluan sementara itu sedikit sebanyak membantu melancarkan pergerakan kenderaan selepas laluan utama terputus akibat tanah runtuh sebelum ini.

Dalam masa sama, pengguna jalan raya dinasihatkan agar sentiasa berwaspada dan berhati-hati ketika melalui kawasan berkenaan memandangkan negara kini masih berada dalam musim tengkujuh yang berisiko menyebabkan kejadian tanah runtuh berulang.

“Maknanya sekarang kita sudah boleh melalui laluan Gua Musang ke Cameron Highlands, cuma perlu sentiasa berhati-hati,” tambahnya.

Rata-rata netizen memahami mengapa caj dikenakan namun ramai juga memilih jalan lebih selamat.

“Bayar sikit dah bising. Dia orang nak buat jalan tu pun guna duit juga, bukan guna air liur.

“Hujan licin, bahaya diri sendiri. Jangan lalu musim hujan. Semoga dipermudahkan. .

“Dari Gua Musang ke Perak. Sanggup bayar RM30 kalau boleh lalu jalan ni. Perjalanan 3 jam, ikut jalan lain 6 jam baru sampai kampung.

“Jalan RM5 tambah basuh kereta RM15 dah jadi RM20. Kalau aku pilih jalan jauh sikit pun okey, kena musim hujan ni hancur jalan tu,” antara komen pengguna TikTok.

Baca juga: Pertama kali di Malaysia, tanah wakaf digunakan untuk bina stesen minyak…50 peratus hasil disalur ke masjid